Saturday, September 12, 2015

Antara Dua Buah Desa


Adakah penantian itu memberikan harapan,
Atau sekadar satu penyiksaan?

Antara DUA Buah Desa~


Aku tetap di sini,
di kerusi ini,
menunggu mu...
berteman bebunga dan dedaun gugur,
sehingga aku tiada...
bisakah aku bertemu dengan mu?
Tetap menunggu,
Sehingga aku tiada.
Dan, kau...
Akan kembali, bukan?

Wednesday, April 29, 2015

Dendam Kubur 2. Fragmen 1


Dendam Kubur 2. Fragmen 1
Petang itu agak mendung. Angin berpuput lembut memesrai daun di pohon.Tidak lama lagi burung akan pulang ke sarang. Mentari tidak memancar cerah, cahayanya dilindungi oleh awan yang sedikit kelabu. Awan pula berarak perlahan. Di bendang, kelihatan beberapa orang petani sedang bersiap sedia untuk pulang. Mereka mengemaskan peralatan menuai. Seorang anak kecil berlari ke arah ibunya. Ibunya menjerit kepada anak kecil itu. Memintanya supaya tidak berlari. Takut-takut tersadung. Anak kecil itu memperlahankan lariannya, dan kemudian berhenti berlari. Dia berjalan perlahan menuju ibunya. Anak kecil itu memperkatakan sesuatu kepada ibunya. Ibunya kemudian mengusap wajah anak kecil itu. Anak kecil itu dan ibunya berjalan pulang. Sawah padi yang menguning. Di belakangnya pula, terdapat sebuah bukit. Nun di hujung kampung, terdiri sebuah rumah yang sudah agak lama binaannya. Seorang lelaki tua sedang duduk-duduk di luar pintu. Garis usia jelas kelihatan di wajahnya. Melihat kepada wajah itu, dia seperti berusia dalam lingkungan 60an. Di jemarinya terselit sebatang rokok. Rokok itu itu dihisapnya dalam-dalam, dan kemudiannya dihembus perlahan. Di memandang jauh, seakan mengingat semula kenangan lama. Fragmen-fragmen kenangan mula bermain di mindanya. Sejenak, dia teringat semula pengalamannya bekerja sebagai seorang penghalau hantu. Terlalu banyak cabaran yang dihadapinya. Ada satu yang tidak pernah dilupakannya. Bagaimana pekerjaannya itu hampir meragut nyawa seorang anak remaja. Seorang anak remaja penakut yang pernah tinggal bersama dengannya. Dia cuba mengingat kembali wajah anak remaja itu. Bersih sahaja wajahnya. Dia juga seorang anak yang sopan. “Abny...,” lelaki tua itu tiba-tiba tersebut nama anak remaja itu. Tidak lama, mata lelaki tua itu genang berkaca. Dia berasa sebak tiba-tiba. Dalam diam, dia berasa bersalah kepada Abny. Berasa bersalah juga kepada kedua orang tua Abny. Nyawa Abny hampir melayang malam itu. Sekiranya lelaki tua itu tidak bertindak cepat, Abny sudah mati dibunuh oleh hantu kubur. Abny, anak remaja yang penakut tetapi sentiasa ingin bersama dengannya. Lelaki tua itu mengusap wajahnya. Rokok sudah setengah dihisap. Seperti kebiasaannya, tidak akan habis dihisapnya sebatang. Selalu begitu. Namun, kali ini dia menghabiskannya. Dia ingin menenangkan diri. “ Tok, suatu hari nanti saya akan kembali berjumpa dengan Tok,” kata-kata Abny terngiang-ngiang di kepalanya. Dan, janji anak remaja itu digenggamnya sehingga kini. Abny, di mana kau sekarang, nak? Kata lelaki tua itu dalam hati.Lelaki tua yang bernama Tok Karim.
Bersambung Fragmen 2...


Gambar: Sekadar gambar hiasan.

Tuesday, March 17, 2015

WHY ME : Mengapa Harus Aku.Fragmen 1


WHY ME : Mengapa Harus Aku.Fragmen 1
Sebuah kisah tentang buli.Kepada mereka yang pernah dibuli.

Keadaan di dalam bilik itu amat sejuk. Terdapat beberapa orang di dalam bilik itu. Enam lelaki dan lima perempuan.  Dalam bulatan, mereka duduk di atas kerusi. Dari riak wajah mereka, tidak banyak yang boleh diperkatakan. Mereka hanya berdiam diri dan tidak pasti. Ada yang keliru.Namun, salah seorang daripada mereka tampaknya berkeyakinan. Dia memegang sebuah buku catatan dan pen. Mungkin bukan di kalangan mereka. Barangkali seorang guru atau kaunselor. Atau tenaga pengajar di situ. Gadis itu memerhati mereka yang ada di sekelilingnya.  Dia melemparkan senyuman. Tetapi tidak berbalas. Tetapi gadis itu tidak mudah patah semangat.  Dia mengatur susun rambutnya. Dan kemudian bersuara, “ Selamat petang semua.Nama saya Isabel. Saya kaunselor di sini. Baiklah, saya lihat tidak ramai yang datang.Tapi, tak mengapa. Terima kasih kerana sudi hadir dalam perkongsian ini. Sebelum itu, apa kata kita berkenalan terlebih dahulu? Kita mulakan dari tepi saya ini. Siapa nama saudara?” tanya Isabel. Tidak lama, lelaki memperkenalkan dirinya. “Nama saya Brian,”katanya. “Baiklah, seterusnya,”kata Isabel pula. Masing-masing memperkenalkan diri mereka. Kemudian, mereka membuat aktiviti  ‘ice breaking’. Sekarang ini, mereka sudah mula menampakkan perubahan. Sudah ada riak ceria di wajah mereka. Ada yang sudah mula tersenyum. Sesudah aktiviti ‘ice breaking’ Isabel pun memberikan penerangan yang lebih lanjut. “ Baiklah, semua sudah maklum tujuan kita berkumpul petang ini, kan? Sebab kita hendak berkongsi mengenai diri kita yang pernah dibuli, sama ada sewaktu kanak-kanak, remaja, atau masa sekarang ini. Di samping itu, perkongsian ini juga sebagai pemberi motivasi kepada kita dalam menjalani hidup selepas ini.Saya tahu, bukan mudah apabila kita terpaksa mengharungi semua ini. Saya cukup berbangga kerana saudara dan saudari berani tampil untuk berkongsi masalah. Ada di antara rakan kita yang masih bingung di luar sana. Malah ada juga yang sudah kehilangan nyawa akibat buli. Baiklah, siapa yang hendak berkongsi pengalamannya terlebih dahulu?,”tanya Isabel.  Isabel memerhati sekeliling. Agak lama juga, tiada yang mengangkat tangan. “Ya, ada siapa?,” tanya Isabel lagi. Akhirnya seorang lelaki mengangkat tangan. “Ya, Steve. Silakan,”kata Isabel. Lelaki itu memandang Isabel dan yang lain. “Boleh saya berkongsi pengalaman saya?,” tanya lelaki itu. “Ya, boleh Steve. Silakan” kata Isabel. Lelaki itu menarik nafasnya sekejap. Kemudian menghembuskannya. Isabel dan yang lain terdiam.Mereka menunggu lelaki itu menyambung bicaranya. Akhirnya, dia bersuara, “Begini ceritanya...”


Monday, March 16, 2015

Kristina.Fragmen 10


Kristina... Fragmen 10.
Kristina melihat jam di pergelangan tangannya. Waktu sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Keadaan di dalam bilik kelas agak riuh. Namun begitu, agak terjaga. Tiada murid yang berjalan ke sana dan ke mari. Tetap juga mereka mengusik sesama sendiri. Hari ini perjumpaan Kelab Fotografi. Ramai juga yang datang, terutama ahli baru dari Tingkatan 1. Tidak lama, satu susuk tubuh masuk ke dalam kelas. Lelaki itu mengepit fail di tangannya. Dialah cikgu Stephen, guru penasihat Kelab Fotografi. Selain itu, dia juga membawa sebuah beg. Sejurus selepas Cikgu Stephen masuk ke dalam kelas, semua pelajar berdiri dan mengucapkan selamat petang. “Selamat petang, cikgu,” kata mereka. “Ya, selamat petang semua. Sila duduk,” jawab Cikgu Stephen.Kristina dan pelajar lain kemudiannya duduk. Cikgu Stephen melihat sekeliling. Ramai juga yang datang, fikirnya dalam hati. “Baiklah, cikgu ucapkan terima kasih kepada semua pelajar kerana ramai juga yang hadir hari ini. Dan cikgu harap ianya akan berterusan. Nama saya Cikgu Stephen. Mungkin tidak asing lagi bagi kamu di sini, tapi mungkin baru bagi adik-adik kamu di Tingkatan 1. Cikgu selaku guru penasihat untuk Kelab Fotografi. Dan ini, cikgu perkenalkan kamu kepada Kristina, pengerusi Kelab Fotografi,” Cikgu Stephen memperkenalkan pelajar lain kepada Kristina. Kristina berdiri dan memperkenalkan diri. “Hai, nama saya Kristina. Saya gembira awak semua memilih Kelab Fotografi. Harap kita dapat bekerjasama,” kata Kristina. Raut wajah Kristina yang menawan itu menarik perhatian ahli baru. Mereka tersenyum. Ada juga yang tertawa. Barangkali tujuan mereka memasuki Kelab Fotografi adalah kerana ingin bersua dan dekat dengan Kristina. “Baiklah Kristina, awak boleh duduk,”kata Cikgu Stephen. Kristina duduk semula. Cikgu Stephen mengeluarkan sesuatu dari dalam beg. Ianya adalah sebuah kamera. Kamera itu menarik perhatian pelajar baru. Bagi pelajar lama, mungkin mereka sudah biasa, namun hati tertarik juga. “Kristina, boleh awak datang ke depan dan bantu saya terangkan tentang kamera ini?” kata Cikgu Stephen. “Ya, boleh Cikgu,” Kristina bingkas dari tempat duduknya dan segera tampil ke depan. Cikgu Stephen menyerahkan kamera itu kepada Kristina. Kristina menyambut kamera itu. Kemudian, dia membelek-belek kamera itu. Dia memandang sekeliling. “Yang lain diam, dengar penerangan daripada Kristina. Kristina, teruskan,” kata Cikgu Stephen. Tidak lama, Kristina pun memberi penerangannya. “Ini adalah kamera DSLR Canon EOS 70D.Ia memiliki spesifikasi dan fitur yang sangat kompleks, dengan rekaan badan yang padat dan kukuh serta grip yang nyaman. Ia memberikan kenyamanan ketika digenggam. Kamera ini dilengkapi dengan Layar LCD variangel yang dapat diputar hingga 360 darjah sebesar tiga inci. Kamera ini juga dibekalkan dengan Prosessor Gambar DIGIC 5+ dan menggunakan sensor CMOS 22.5mm x 15.0mm, sehingga mampu menghasilkan gambar dan video dengan kualiti yang mengagumkan.Boleh saya cuba ambil gambar, Cikgu?” tanya Kristina kepada Cikgu Stephen. “Ya, silakan,” jawab Cikgu Stephen. Kristina kemudiannya menunjuk cara bagaimana menggunakan kamera DSLR Canon EOS 70D. Dia mengambil beberapa keping gambar. Perlakuan Kristina menarik perhatian ahli baru. Mereka tertarik dengan penerangan Kristina yang jelas dan lancar. Di samping itu, Kristina juga ada menunjuk cara bagaimana menggunakan kamera. Di akhir perjumpaan, Cikgu Stephen membuat sedikit pengumuman. “Baiklah, pertandingan fotografi akan bermula dua minggu dari sekarang. Diharap ahli kelab dapat membuat persediaan dan perancangan. Boleh dapatkan borang pertandingan daripada Kristina. Tiga pemenang akan mewakili pertandingan fotografi peringkat bahagian,” jelas Cikgu Stephen. Semua pelajar berpandangan sesama sendiri. Bagi mereka, inilah peluang untuk mencuba nasib di samping mengasah bakat. Kristina mengalihkan pandangannya kepada Cikgu Stephen. Dia dapat melihat kesungguhan di wajah guru muda itu. Dan, Kristina pun tersenyum.
Bersambung fragmen 11








    

          

Friday, February 27, 2015

J.O.S. Kehidupanku.Fragmen 1-2.


J.O.S. Kehidupanku.Fragmen 1-2.

J.O.S. Kehidupanku.Fragmen 1
Mentari pagi merangkak perlahan di ufuk timur.Kicau burung melagukan simfoni alam.Ayam jantan berkokok di reban. Embun pagi yang menumpang di daun, perlahan menyimbah bumi .Hidup. Aku masih lagi hidup. Perlahan aku menarik nafas.Dalam-dalam.kemudian kuhembus perlahan. Ku diam sejenak. Berdoa di dalam hati. “Terima kasih Tuhan kerana memberiku satu hari lagi.Dan ku berharap ia menjadi perangsang kepada diriku.” Semalam adalah sejarah. Hari ini adalah realiti. Dan esok adalah misteri. Tidak siapa tahu akan nasibnya esok hari. Namun, hari ini dapat memberi bayangan apa yang akan terjadi esok hari.
Aku kemaskan tempat tidur.Bantal, selimut kususun rapi. Si Labang berkokok lagi. Amat setia Si Labang dengan tugasnya. Membangunkan aku setiap pagi. Aku segera mencapai tuala dan menuju bilik mandi.Seperti biasa, memberus gigi dan kemudian mandi. Selesai mandi, aku mencapai baju dan seluar di dalam almari.Kuambil jam tangan di meja. Kemudian , sikat rambut. Hari ini hendak cuba fesyen belah tengah. Lama juga memerhatikan wajah di cermin. Terlupa pula untuk mencukur misai dan jambang. Nampak tidak kemas. Tapi, kalau lama-lama diperhatikan agak menarik juga. Nampak lebih matang dan tegas.
Cukuplah bercermin. Aku kemudiannya pergi ke dapur. Menjerang air panas. Pagi ini rasa hendak bersaparan telur separuh masak dan kopi campur susu. Selesai sarapan, sesaat aku melihat jam di tangan. Dah hampir waktu aku bekerja.  Aku segera mengambil kunci motorsikal yang tersangkut di dinding. Kemudian, mengenakan stoking dan kasut kerja. Bergegas ke arah motorsikal kapcai warna hitam dan menghidupkan enjin. Kakiku menekan gear satu dan motosikal mula bergerak. Sambil merenung ke atas sejenak dan memerhati mentari yang semakin meninggi. Udara pagi yang cukup menyamankan. Selamat pagi semua. Oh, ya. Namaku Laguna. Aku bermain dengan minyak hitam dan ‘spark plug’.
Bersambung Fragmen 2...

J.O.S. Kehidupanku. Fragmen 2
Setibanya aku di tempat kerja, kulihat Ward juga sudah sampai. Dia senyum kepadaku. Aku membalas senyumannya. Aku parkir motosikalku. Sebaik sahaja aku membuka helmet, aku mengeluarkan sikat dari saku seluar. Aku memandang cermin motosikal sambil merapi dan menyikat rambutku. Selesai bersikat aku mendongak. Perbuatan aku menarik perhatian Ward. Dia memandang wajahku sambil berkata, “Wah, stail rambut baru ke? Belah tengah you...”Aku tertawa dan membalas kata-katanya. “Cuba stail baru pulak kali ni.” “Tapi, ada kurang sikit.Sebab kau tak bercukur.Kalau bercukur lagi kacak,”kata Ward lagi. “Oh, itu.Aku terlupalah.Lagipun aku tengok kat cermin tadi macam ni pun bagus juga,”balasku. Tauke belum datang lagi. Aku dan Ward lepak sekejap sementara menunggu bengkel dibuka. Hari ini seperti hari-hari sebelumnya. Pasti ramai yang akan mengunjungi bengkel sebentar lagi. Aku dan Ward memerhati sekeliling. Kemudian, kami saling berpandangan. “Mana Kiros? Dia belum sampai lagi ni?tanya Ward kepadaku.”Entahlah.Tak pernah dia datang lambat,”kataku. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi kereta. Sebuah kereta Toyota Corona warna putih parkir tidak jauh dari tempat aku dan Ward melepak. Seorang lelaki separuh usia keluar dari perut kereta.Perlahan, dia menutup pintu kereta. “Kamu dua sajakah? Mana Kiros? Belum datang lagi?”tanya lelaki itu. “Tidak tahu, Tauke. Belum nampak dia lagi,”ujar Ward. “Guna, awak telefon dia dulu. Cuba tanya di mana dia sekarang,”pinta Tauke Lim. Sedang aku ingin mendail nombor dan menelefon Kiros, telefon aku berbunyi. Kulihat nama Kiros pada skrin telefon. Cepat-cepat aku sahut. “Helo?Ha, di mana Kau Kiros? Tauke cari kamu ni,”tanyaku. Tidak lama aku tersentak. “Apa?! Ayah kamu pengsan!?” Ward dan Tauke Lim terpinga mendengar suaraku yang agak nyaring. Aku memandang Ward dan Tauke Lim. “Ayah dia pengsan, tauke. Sekarang ambulans bawa ke hospital,”kataku. Tauke Lim terdiam. Tidak lama, dia bersuara. “Guna, Ward. Cepat,mari kita pergi hospital,” ajak Tauke Lim. “Tapi, macam mana bengkel?” tanyaku. “Ya, Tauke.Macam mana bengkel?” kini giliran Ward pula bertanya. “Kita pergi hospital dulu. Nanti kita buka bengkel.Kalau tak dapat juga, kita tutup hari ni,” ujar Tauke Lim. Aku dan Ward cepat-cepat masuk kereta Tauke Lim. Enjin kereta dihidupkan. Dan kereta bergerak pantas menuju hospital.

Bersambung Fragmen 3...