Saturday, September 12, 2015

Antara Dua Buah Desa


Adakah penantian itu memberikan harapan,
Atau sekadar satu penyiksaan?

Antara DUA Buah Desa~


Aku tetap di sini,
di kerusi ini,
menunggu mu...
berteman bebunga dan dedaun gugur,
sehingga aku tiada...
bisakah aku bertemu dengan mu?
Tetap menunggu,
Sehingga aku tiada.
Dan, kau...
Akan kembali, bukan?

Wednesday, April 29, 2015

Dendam Kubur 2. Fragmen 1


Dendam Kubur 2. Fragmen 1
Petang itu agak mendung. Angin berpuput lembut memesrai daun di pohon.Tidak lama lagi burung akan pulang ke sarang. Mentari tidak memancar cerah, cahayanya dilindungi oleh awan yang sedikit kelabu. Awan pula berarak perlahan. Di bendang, kelihatan beberapa orang petani sedang bersiap sedia untuk pulang. Mereka mengemaskan peralatan menuai. Seorang anak kecil berlari ke arah ibunya. Ibunya menjerit kepada anak kecil itu. Memintanya supaya tidak berlari. Takut-takut tersadung. Anak kecil itu memperlahankan lariannya, dan kemudian berhenti berlari. Dia berjalan perlahan menuju ibunya. Anak kecil itu memperkatakan sesuatu kepada ibunya. Ibunya kemudian mengusap wajah anak kecil itu. Anak kecil itu dan ibunya berjalan pulang. Sawah padi yang menguning. Di belakangnya pula, terdapat sebuah bukit. Nun di hujung kampung, terdiri sebuah rumah yang sudah agak lama binaannya. Seorang lelaki tua sedang duduk-duduk di luar pintu. Garis usia jelas kelihatan di wajahnya. Melihat kepada wajah itu, dia seperti berusia dalam lingkungan 60an. Di jemarinya terselit sebatang rokok. Rokok itu itu dihisapnya dalam-dalam, dan kemudiannya dihembus perlahan. Di memandang jauh, seakan mengingat semula kenangan lama. Fragmen-fragmen kenangan mula bermain di mindanya. Sejenak, dia teringat semula pengalamannya bekerja sebagai seorang penghalau hantu. Terlalu banyak cabaran yang dihadapinya. Ada satu yang tidak pernah dilupakannya. Bagaimana pekerjaannya itu hampir meragut nyawa seorang anak remaja. Seorang anak remaja penakut yang pernah tinggal bersama dengannya. Dia cuba mengingat kembali wajah anak remaja itu. Bersih sahaja wajahnya. Dia juga seorang anak yang sopan. “Abny...,” lelaki tua itu tiba-tiba tersebut nama anak remaja itu. Tidak lama, mata lelaki tua itu genang berkaca. Dia berasa sebak tiba-tiba. Dalam diam, dia berasa bersalah kepada Abny. Berasa bersalah juga kepada kedua orang tua Abny. Nyawa Abny hampir melayang malam itu. Sekiranya lelaki tua itu tidak bertindak cepat, Abny sudah mati dibunuh oleh hantu kubur. Abny, anak remaja yang penakut tetapi sentiasa ingin bersama dengannya. Lelaki tua itu mengusap wajahnya. Rokok sudah setengah dihisap. Seperti kebiasaannya, tidak akan habis dihisapnya sebatang. Selalu begitu. Namun, kali ini dia menghabiskannya. Dia ingin menenangkan diri. “ Tok, suatu hari nanti saya akan kembali berjumpa dengan Tok,” kata-kata Abny terngiang-ngiang di kepalanya. Dan, janji anak remaja itu digenggamnya sehingga kini. Abny, di mana kau sekarang, nak? Kata lelaki tua itu dalam hati.Lelaki tua yang bernama Tok Karim.
Bersambung Fragmen 2...


Gambar: Sekadar gambar hiasan.

Tuesday, March 17, 2015

WHY ME : Mengapa Harus Aku.Fragmen 1


WHY ME : Mengapa Harus Aku.Fragmen 1
Sebuah kisah tentang buli.Kepada mereka yang pernah dibuli.

Keadaan di dalam bilik itu amat sejuk. Terdapat beberapa orang di dalam bilik itu. Enam lelaki dan lima perempuan.  Dalam bulatan, mereka duduk di atas kerusi. Dari riak wajah mereka, tidak banyak yang boleh diperkatakan. Mereka hanya berdiam diri dan tidak pasti. Ada yang keliru.Namun, salah seorang daripada mereka tampaknya berkeyakinan. Dia memegang sebuah buku catatan dan pen. Mungkin bukan di kalangan mereka. Barangkali seorang guru atau kaunselor. Atau tenaga pengajar di situ. Gadis itu memerhati mereka yang ada di sekelilingnya.  Dia melemparkan senyuman. Tetapi tidak berbalas. Tetapi gadis itu tidak mudah patah semangat.  Dia mengatur susun rambutnya. Dan kemudian bersuara, “ Selamat petang semua.Nama saya Isabel. Saya kaunselor di sini. Baiklah, saya lihat tidak ramai yang datang.Tapi, tak mengapa. Terima kasih kerana sudi hadir dalam perkongsian ini. Sebelum itu, apa kata kita berkenalan terlebih dahulu? Kita mulakan dari tepi saya ini. Siapa nama saudara?” tanya Isabel. Tidak lama, lelaki memperkenalkan dirinya. “Nama saya Brian,”katanya. “Baiklah, seterusnya,”kata Isabel pula. Masing-masing memperkenalkan diri mereka. Kemudian, mereka membuat aktiviti  ‘ice breaking’. Sekarang ini, mereka sudah mula menampakkan perubahan. Sudah ada riak ceria di wajah mereka. Ada yang sudah mula tersenyum. Sesudah aktiviti ‘ice breaking’ Isabel pun memberikan penerangan yang lebih lanjut. “ Baiklah, semua sudah maklum tujuan kita berkumpul petang ini, kan? Sebab kita hendak berkongsi mengenai diri kita yang pernah dibuli, sama ada sewaktu kanak-kanak, remaja, atau masa sekarang ini. Di samping itu, perkongsian ini juga sebagai pemberi motivasi kepada kita dalam menjalani hidup selepas ini.Saya tahu, bukan mudah apabila kita terpaksa mengharungi semua ini. Saya cukup berbangga kerana saudara dan saudari berani tampil untuk berkongsi masalah. Ada di antara rakan kita yang masih bingung di luar sana. Malah ada juga yang sudah kehilangan nyawa akibat buli. Baiklah, siapa yang hendak berkongsi pengalamannya terlebih dahulu?,”tanya Isabel.  Isabel memerhati sekeliling. Agak lama juga, tiada yang mengangkat tangan. “Ya, ada siapa?,” tanya Isabel lagi. Akhirnya seorang lelaki mengangkat tangan. “Ya, Steve. Silakan,”kata Isabel. Lelaki itu memandang Isabel dan yang lain. “Boleh saya berkongsi pengalaman saya?,” tanya lelaki itu. “Ya, boleh Steve. Silakan” kata Isabel. Lelaki itu menarik nafasnya sekejap. Kemudian menghembuskannya. Isabel dan yang lain terdiam.Mereka menunggu lelaki itu menyambung bicaranya. Akhirnya, dia bersuara, “Begini ceritanya...”


Monday, March 16, 2015

Kristina.Fragmen 10


Kristina... Fragmen 10.
Kristina melihat jam di pergelangan tangannya. Waktu sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Keadaan di dalam bilik kelas agak riuh. Namun begitu, agak terjaga. Tiada murid yang berjalan ke sana dan ke mari. Tetap juga mereka mengusik sesama sendiri. Hari ini perjumpaan Kelab Fotografi. Ramai juga yang datang, terutama ahli baru dari Tingkatan 1. Tidak lama, satu susuk tubuh masuk ke dalam kelas. Lelaki itu mengepit fail di tangannya. Dialah cikgu Stephen, guru penasihat Kelab Fotografi. Selain itu, dia juga membawa sebuah beg. Sejurus selepas Cikgu Stephen masuk ke dalam kelas, semua pelajar berdiri dan mengucapkan selamat petang. “Selamat petang, cikgu,” kata mereka. “Ya, selamat petang semua. Sila duduk,” jawab Cikgu Stephen.Kristina dan pelajar lain kemudiannya duduk. Cikgu Stephen melihat sekeliling. Ramai juga yang datang, fikirnya dalam hati. “Baiklah, cikgu ucapkan terima kasih kepada semua pelajar kerana ramai juga yang hadir hari ini. Dan cikgu harap ianya akan berterusan. Nama saya Cikgu Stephen. Mungkin tidak asing lagi bagi kamu di sini, tapi mungkin baru bagi adik-adik kamu di Tingkatan 1. Cikgu selaku guru penasihat untuk Kelab Fotografi. Dan ini, cikgu perkenalkan kamu kepada Kristina, pengerusi Kelab Fotografi,” Cikgu Stephen memperkenalkan pelajar lain kepada Kristina. Kristina berdiri dan memperkenalkan diri. “Hai, nama saya Kristina. Saya gembira awak semua memilih Kelab Fotografi. Harap kita dapat bekerjasama,” kata Kristina. Raut wajah Kristina yang menawan itu menarik perhatian ahli baru. Mereka tersenyum. Ada juga yang tertawa. Barangkali tujuan mereka memasuki Kelab Fotografi adalah kerana ingin bersua dan dekat dengan Kristina. “Baiklah Kristina, awak boleh duduk,”kata Cikgu Stephen. Kristina duduk semula. Cikgu Stephen mengeluarkan sesuatu dari dalam beg. Ianya adalah sebuah kamera. Kamera itu menarik perhatian pelajar baru. Bagi pelajar lama, mungkin mereka sudah biasa, namun hati tertarik juga. “Kristina, boleh awak datang ke depan dan bantu saya terangkan tentang kamera ini?” kata Cikgu Stephen. “Ya, boleh Cikgu,” Kristina bingkas dari tempat duduknya dan segera tampil ke depan. Cikgu Stephen menyerahkan kamera itu kepada Kristina. Kristina menyambut kamera itu. Kemudian, dia membelek-belek kamera itu. Dia memandang sekeliling. “Yang lain diam, dengar penerangan daripada Kristina. Kristina, teruskan,” kata Cikgu Stephen. Tidak lama, Kristina pun memberi penerangannya. “Ini adalah kamera DSLR Canon EOS 70D.Ia memiliki spesifikasi dan fitur yang sangat kompleks, dengan rekaan badan yang padat dan kukuh serta grip yang nyaman. Ia memberikan kenyamanan ketika digenggam. Kamera ini dilengkapi dengan Layar LCD variangel yang dapat diputar hingga 360 darjah sebesar tiga inci. Kamera ini juga dibekalkan dengan Prosessor Gambar DIGIC 5+ dan menggunakan sensor CMOS 22.5mm x 15.0mm, sehingga mampu menghasilkan gambar dan video dengan kualiti yang mengagumkan.Boleh saya cuba ambil gambar, Cikgu?” tanya Kristina kepada Cikgu Stephen. “Ya, silakan,” jawab Cikgu Stephen. Kristina kemudiannya menunjuk cara bagaimana menggunakan kamera DSLR Canon EOS 70D. Dia mengambil beberapa keping gambar. Perlakuan Kristina menarik perhatian ahli baru. Mereka tertarik dengan penerangan Kristina yang jelas dan lancar. Di samping itu, Kristina juga ada menunjuk cara bagaimana menggunakan kamera. Di akhir perjumpaan, Cikgu Stephen membuat sedikit pengumuman. “Baiklah, pertandingan fotografi akan bermula dua minggu dari sekarang. Diharap ahli kelab dapat membuat persediaan dan perancangan. Boleh dapatkan borang pertandingan daripada Kristina. Tiga pemenang akan mewakili pertandingan fotografi peringkat bahagian,” jelas Cikgu Stephen. Semua pelajar berpandangan sesama sendiri. Bagi mereka, inilah peluang untuk mencuba nasib di samping mengasah bakat. Kristina mengalihkan pandangannya kepada Cikgu Stephen. Dia dapat melihat kesungguhan di wajah guru muda itu. Dan, Kristina pun tersenyum.
Bersambung fragmen 11








    

          

Friday, February 27, 2015

J.O.S. Kehidupanku.Fragmen 1-2.


J.O.S. Kehidupanku.Fragmen 1-2.

J.O.S. Kehidupanku.Fragmen 1
Mentari pagi merangkak perlahan di ufuk timur.Kicau burung melagukan simfoni alam.Ayam jantan berkokok di reban. Embun pagi yang menumpang di daun, perlahan menyimbah bumi .Hidup. Aku masih lagi hidup. Perlahan aku menarik nafas.Dalam-dalam.kemudian kuhembus perlahan. Ku diam sejenak. Berdoa di dalam hati. “Terima kasih Tuhan kerana memberiku satu hari lagi.Dan ku berharap ia menjadi perangsang kepada diriku.” Semalam adalah sejarah. Hari ini adalah realiti. Dan esok adalah misteri. Tidak siapa tahu akan nasibnya esok hari. Namun, hari ini dapat memberi bayangan apa yang akan terjadi esok hari.
Aku kemaskan tempat tidur.Bantal, selimut kususun rapi. Si Labang berkokok lagi. Amat setia Si Labang dengan tugasnya. Membangunkan aku setiap pagi. Aku segera mencapai tuala dan menuju bilik mandi.Seperti biasa, memberus gigi dan kemudian mandi. Selesai mandi, aku mencapai baju dan seluar di dalam almari.Kuambil jam tangan di meja. Kemudian , sikat rambut. Hari ini hendak cuba fesyen belah tengah. Lama juga memerhatikan wajah di cermin. Terlupa pula untuk mencukur misai dan jambang. Nampak tidak kemas. Tapi, kalau lama-lama diperhatikan agak menarik juga. Nampak lebih matang dan tegas.
Cukuplah bercermin. Aku kemudiannya pergi ke dapur. Menjerang air panas. Pagi ini rasa hendak bersaparan telur separuh masak dan kopi campur susu. Selesai sarapan, sesaat aku melihat jam di tangan. Dah hampir waktu aku bekerja.  Aku segera mengambil kunci motorsikal yang tersangkut di dinding. Kemudian, mengenakan stoking dan kasut kerja. Bergegas ke arah motorsikal kapcai warna hitam dan menghidupkan enjin. Kakiku menekan gear satu dan motosikal mula bergerak. Sambil merenung ke atas sejenak dan memerhati mentari yang semakin meninggi. Udara pagi yang cukup menyamankan. Selamat pagi semua. Oh, ya. Namaku Laguna. Aku bermain dengan minyak hitam dan ‘spark plug’.
Bersambung Fragmen 2...

J.O.S. Kehidupanku. Fragmen 2
Setibanya aku di tempat kerja, kulihat Ward juga sudah sampai. Dia senyum kepadaku. Aku membalas senyumannya. Aku parkir motosikalku. Sebaik sahaja aku membuka helmet, aku mengeluarkan sikat dari saku seluar. Aku memandang cermin motosikal sambil merapi dan menyikat rambutku. Selesai bersikat aku mendongak. Perbuatan aku menarik perhatian Ward. Dia memandang wajahku sambil berkata, “Wah, stail rambut baru ke? Belah tengah you...”Aku tertawa dan membalas kata-katanya. “Cuba stail baru pulak kali ni.” “Tapi, ada kurang sikit.Sebab kau tak bercukur.Kalau bercukur lagi kacak,”kata Ward lagi. “Oh, itu.Aku terlupalah.Lagipun aku tengok kat cermin tadi macam ni pun bagus juga,”balasku. Tauke belum datang lagi. Aku dan Ward lepak sekejap sementara menunggu bengkel dibuka. Hari ini seperti hari-hari sebelumnya. Pasti ramai yang akan mengunjungi bengkel sebentar lagi. Aku dan Ward memerhati sekeliling. Kemudian, kami saling berpandangan. “Mana Kiros? Dia belum sampai lagi ni?tanya Ward kepadaku.”Entahlah.Tak pernah dia datang lambat,”kataku. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi kereta. Sebuah kereta Toyota Corona warna putih parkir tidak jauh dari tempat aku dan Ward melepak. Seorang lelaki separuh usia keluar dari perut kereta.Perlahan, dia menutup pintu kereta. “Kamu dua sajakah? Mana Kiros? Belum datang lagi?”tanya lelaki itu. “Tidak tahu, Tauke. Belum nampak dia lagi,”ujar Ward. “Guna, awak telefon dia dulu. Cuba tanya di mana dia sekarang,”pinta Tauke Lim. Sedang aku ingin mendail nombor dan menelefon Kiros, telefon aku berbunyi. Kulihat nama Kiros pada skrin telefon. Cepat-cepat aku sahut. “Helo?Ha, di mana Kau Kiros? Tauke cari kamu ni,”tanyaku. Tidak lama aku tersentak. “Apa?! Ayah kamu pengsan!?” Ward dan Tauke Lim terpinga mendengar suaraku yang agak nyaring. Aku memandang Ward dan Tauke Lim. “Ayah dia pengsan, tauke. Sekarang ambulans bawa ke hospital,”kataku. Tauke Lim terdiam. Tidak lama, dia bersuara. “Guna, Ward. Cepat,mari kita pergi hospital,” ajak Tauke Lim. “Tapi, macam mana bengkel?” tanyaku. “Ya, Tauke.Macam mana bengkel?” kini giliran Ward pula bertanya. “Kita pergi hospital dulu. Nanti kita buka bengkel.Kalau tak dapat juga, kita tutup hari ni,” ujar Tauke Lim. Aku dan Ward cepat-cepat masuk kereta Tauke Lim. Enjin kereta dihidupkan. Dan kereta bergerak pantas menuju hospital.

Bersambung Fragmen 3...

Monday, September 22, 2014

Ronny Mark...



Kristina Special...

Dia ialah watak yang paling misteri. Dia ialah watak yang mengambil masa 6 bulan untuk dikaji. Dia seorang lelaki dingin dan tidak menghiraukan orang lain setelah satu peristiwa menimpa sahabat baiknya. Dia seorang petinju. Isabel Lockheart menyukainya, manakala Am Nass mengaguminya dan menganggapnya seorang pejuang. Dia ialah watak yang membuatkan pembaca terus setia dengan cerita Kristina. Dialah...semuanya dalam Kristina Fragmen 9.


Kristina... Fragmen 9
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...


“Huh...Huh...Huh...” Perlakuannya tiba-tiba terhenti. Dia menghentikan kiraan. Dia terduduk. Peluh menitik jatuh dari muka. Disapunya perlahan. Dia menundukkan kepalanya. Memandang lantai simen. Dia cuba untuk membuang kepenatan. Lama juga dia memandang lantai simen itu. Tak lama, kedengaran bunyi tapak kaki. Bunyinya semakin kuat dan menghampiri. Tertarik dengan bunyi itu, dia mendongakkan kepalanya. Dia terpandang satu susuk tubuh atletik di hadapannya. Lelaki itu tersenyum memandangnya. “Letih ke?” tanya lelaki itu. Dia hanya mengangguk perlahan. “Simon, ajar aku cara menumbuk.” Tiba-tiba dia bersuara. Menyatakan hasratnya kepada lelaki itu. Spontan, Simon menghayunkan kedua belah tangannya dan melakukan aksi menumbuk. “ Ajar kau cara menumbuk? Kau larat lagi ke? Penat betul kau aku tengok. Muka pun dah merah-merah,” ujar Simon. “ Larat lagi ni,” dia membalas kata-kata Simon. “Baiklah,” Simon menjawab lalu menghulurkan tangannya. Dia menyambut tangan Simon dan segera angkat. Kemudian, keduanya saling membuka baju dan meletakkannya di tepi. Gelagat mereka berdua menarik perhatian pengunjung taman tasik itu. Tidak lupa juga kepada dua orang gadis yang sedang lalu di hadapan mereka. “Wow...kau lihat tu,” kata salah seorang daripada gadis itu. Rakannya tersenyum dan kemudian tertawa kecil. “Mantapnya,” kata gadis itu lagi. Susuk tubuh Simon memang tegap dan cantik.Terutama pada bahagian perutnya yang berketul. Sifar lemak di situ. Dia pula sedikit kurus namun susuk tubuhnya masih menampakkan dirinya sebagai seorang petinju. Walaupun seakan menyedari diperhatikan oleh orang di sekeliling, mereka berdua tetap meneruskan latihan. Berlatih di luar, dengan udara petang yang menghembus lembut sememangnya memberikan pengalaman latihan yang berbeda. Lebih nyaman dan tenteram berbanding di dalam gim yang tertutup. Ini secara tidak langsung memberi kesan yang positif terhadap emosi petinju. Petang itu,mereka berlatih teknik tinju yang biasa dilakukan seperti tumbuk lurus (jab), tumbuk sauk (uppercut), dan tumbuk cangkuk (hook). “Ada caranya untuk memperkeras tinju atau pukulan. Semuanya dapat diperoleh dengan latihan yang rutin. Memiliki tinju atau pukulan yang keras tentunya akan meningkatkan kepercayaan diri kita saat hendak melakukan sparing.Kita akan yakin kalau lawan yang kita pukul akan terjatuh hanya dengan melakukan beberapa pukulan saja, tapi harus memiliki ketepatan target yang bagus dalam melakukan pukulan,” kata Simon. “Jadi, apa caranya?” dia bertanya.. “Macam yang kau biasa lakukan, ‘Push Up’. Lagi satu, memukul dinding,” kata Simon lagi. “Memukul dinding?”dia bertanya lagi. “ Ya, tapi bukan seperti hendak memukul orang. Hati-hati, boleh cedera tangan dibuatnya. Lakukan dengan perlahan-lahan tapi lakukan sampai berulang kali. Jangan terlalu perlahan juga, kau dapat mengatur kekuatannya sesuai kemampuan,” jelas Simon lagi. “Terima kasih, Simon. Kau banyak ajar aku,” dia berkata. “Alah, hal kecil itu.” kata Simon. Sesaat, Simon memandang mentari yang hampir melabuhkan tirai. “Eh, dah lewat ni, hari pun dah semakin gelap. Jom, kita balik,” ajak Simon. Dia mengangguk perlahan, dan keduanya mula berjalan pulang dari taman tasik itu. Sepanjang perjalanan pulang itu, dia berfikir sesuatu. Dalam diam, dia amat mengagumi lelaki bernama Simon. Simon yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada dia. Dia, dia yang bernama Ronny Mark.



p/s : Dialah, Ronny Mark...
Oh, ya!Karya ini akan dibukukan! Seronoknya! 
Layari http://brain-psychoneuron.blogspot.com/ dan http://penaberdansa.blogspot.com/ untuk membaca karya-karya saya. Terima kasih.



Jasmine Sweetheart dan Am Nass


Kristina Special...

Dua lagi watak dalam Kristina. Jasmine Sweetheart dan Am Nass.Jasmine, gadis yang meminati bidang jurnalis, manakala Am Nass pula adalah lelaki yang meminati puisi. Jasmine ialah gadis yang amat cantik dengan rambut separas bahu dan dagunya belah. Am pula seorang lelaki biasa, berpotongan rambut kemas dan berkaca mata. Watak Jasmine dan Am antara yang menghidupkan cerita Kristina. Fragmen 7 dan 8 memaparkan kisah mereka berdua. Selamat membaca. ;)

Kristina... Fragmen 7
Ramai orang di perpustakaan hari itu. Kebanyakannya adalah pelajar. Biasalah, minggu ini minggu ulangkaji. Peperiksaan pertengahan tahun akan bermula minggu depan. Para pelajar mengambil kesempatan ini untuk pergi ke perpustakaan. Belajar dan membuat perbincangan secara berkumpulan. Di samping itu, mereka juga mencari buku rujukan yang bersesuaian dengan topik. Di luar perpustakaan, kelihatan seorang lelaki sedang duduk di tangga. Dia membaca sebuah buku. Matanya menyorot setiap catatan yang terdapat dalam buku itu. Sedang dia leka membaca, datang seorang gadis dari arah belakangnya. Gadis itu menepuk bahunya. “Ha, buat apa kat sini? Kenapa tak masuk dalam?” tanya gadis itu. Lelaki itu sedikit tersentak dengan tepukan itu. Dia menoleh ke belakang. “ Oh, kau Erina. Dalam banyak sangat orang. Kat luar ni seronok sikit. Rasa lebih tenang,” kata lelaki itu. “Alah, banyak kau punya alasan. Kau tak nak kat dalam sebab ada dia, kan?” Erina cuba mengusik lelaki itu. “Tak adalah,” jawab lelaki itu ringkas. Dia agak sedikit terganggu dengan pertanyaan itu. “Am, kau baca buku apa tu?” Buku yang dipegang oleh Am menarik perhatian Erina. Am menutup buku itu lalu memberikannya kepada Erina. Erina membaca tajuk buku itu. “Panduan menulis novel? Kau nak menulis novel ke, Am?” tanya Erina. Am tersenyum lalu mengangguk perlahan. “Wah, hebat! Daripada sajak beralih ke novel pulak,” kata Erina. “Aku nak cuba sesuatu yang baru. Bagi aku, novel itu sama juga seperti sajak. Ia adalah cerminan masyarakat,” jawab Am. “Betul, tu. Tak salah mencuba sesuatu yang baru. Am, novel pun novel jugak. Kau dah belajar ke? Minggu depan kita nak ujian,” tanya Erina. Erina memandang Am. Am mengatur cermin matanya. “Sudah,” kata Am. “Eh, Am! Marilah masuk dalam. Jangan seorang-seorang kat sini. Tak baik, nanti orang culik!” ajak Erina. “Tak apalah. Aku lebih suka kat sini. Err...Erina, buku aku,” kata Am sambil meminta bukunya kembali. “Kau nak buku ni, kau ikut aku masuk ke dalam. Marilah!” pujuk Erina lagi.
“Yalah, yalah,” kata Am. Akhirnya Am mengalah. Erina dan Am berjalan masuk ke dalam perpustakaan. Pintu perpustakaan dibuka. Erina memandang sekitar. Matanya melilau mencari seseorang. Di satu sudut seorang gadis sedang menulis. Sesaat, gadis itu berhenti menulis. Tangannya mula mengatur rambut. Erina tersenyum lebar. Erina memandang Am. “Jom, Am! Kita jumpa dia,” kata Erina. Dia menarik tangan Am. “Erina, aku..” perasaan malu tiba-tiba hadir dalam diri Am. Dia berasa serba salah. Erina terus menarik tangan Am, dan mereka berjalan menuju ke arah gadis itu.
Bersambung Fragmen 8. Nantikan sambungannya... 

Kristina... Fragmen 8
Gadis itu mengatur rambutnya. Tak lama, dia merasakan ada derap tapak kaki menuju ke arahnya. Agak laju dan buru-buru. Gadis itu mendongakkan kepala. Dia terpandang Erina dan Am. Kelihatan, Erina memegang tangan Am. Tersedar, Erina melepaskan pegangan. Erina memandang wajah gadis itu. “Jasmine, ni aku bawa Am. Dia kata nak jumpa kau,” kata Erina. Erina memandang wajah Am. Dia mencubit lengan lelaki itu. Am terpinga-pinga dengan kata-kata Erina. “Err..tak...” belum sempat Am menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Erina menyentuhnya. Kali ini ditepuk di belakang pula. Agak kuat sehingga Am hampir tertolak ke arah Jasmine. Tepukan yang kuat itu menarik perhatian orang di sekitar. Mereka berpaling ke arah Erina, Am dan Jasmine. Erina tersedar dengan perlakuannya. Dia segera menunduk dan meminta maaf. Erina memandang wajah Jasmine. Dia tersengih. Am semakin kurang selesa. Dia seperti ingin pergi dari situ. Tetapi, belum sempat dia berbuat demikian, kakinya telah dipijak oleh Erina. “Oh, Tuhan,”bisik Am sendirian. Bisikan Am itu menarik perhatian Jasmine. Dia memandang wajah lelaki itu. Jasmine tersenyum. “Duduklah,” pelawa Jasmine lembut. “Am, duduklah. Orang dah pelawa tu!” kata Erina kepada Am. Erina menyuruh Am duduk dekat dengan Jasmine. Dengan perlahan, Am duduk di kerusi. Am menyangka Erina akan duduk bersama dengan mereka. Namun, jangkaan Am meleset. Sebaliknya, Erina cepat-cepat beredar dari situ. Am menjadi kaku seketika. Sebelum pergi, Erina sempat melambai ke arah Am dan Jasmine. Erina membuat isyarat semoga berjaya kepada Am. Jasmine tersenyum lagi. Dia akhirnya ketawa kecil kerana tidak tahan melihat telatah Erina. Am memberanikan diri memandang wajah Jasmine. Jasmine, dengan rambut separas bahu. Wajah yang putih dan dagu yang belah. Sungguh cantik! Kata Am di dalam hati. Am rasa terpukau melihat kecantikan Jasmine. Tak lama, Jasmine memalingkan mukanya. Dia memandang wajah Am. Sesaat, mereka berbalas renungan. Jasmine tersenyum. Am tersipu malu. “Kenapa awak nak jumpa saya?” tanya Jasmine. Am rasa serba salah. Dia tidak tahu apa yang ingin diberitahu. Semua ini kerja Erina. “Huh...” Am mengeluh perlahan. Jasmine terdengar keluhan Am. “Erin usik awak, ya?” tanya Jasmine. Dia seperti tahu bahawa Erina yang merencanakan segalanya. Am terdiam. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai. “Err...sebenarnya saya, sebenarnya saya nak belajar menulis daripada awak. Ya, belajar menulis,” akhirnya jawapan itu keluar dari mulut Am. Jasmine tersentak. Jasmine terdiam seketika.“Boleh, tapi saya nak awak hasilkan sebuah sajak untuk saya,”kata Jasmine. Sajak? Seakan teruja, Am mengangguk dan tersenyum. Dan, Jasmine membalas senyuman itu...

Oh, ya!Karya ini akan dibukukan! Seronoknya! 

Layari http://brain-psychoneuron.blogspot.com/ dan http://penaberdansa.blogspot.com/ untuk membaca karya-karya saya. Terima kasih.