Sunday, April 20, 2014

Derita Lara Seorang Penyair...


Derita Lara Seorang Penyair...
Ini adalah sipnosis cerita. Selamat membaca. ;)

Pada zaman dahulu, di sebuah negara air tinggal seorang penyair dengan isteri dan seorang anak perempuannya. Dia ialah seorang penyair yang terkenal dengan kebijaksanaannya. Dia amat disenangi oleh semua penduduk di negara air. Namun, negara air diperintah oleh seorang raja yang kejam dan zalim. Suatu hari, raja yang berniat jahat ini memberi perintah kepada penyair supaya menulis sebuah puisi kesedihan atau ratapan. Sekiranya dia tidak berjaya menghasilkan puisi itu, dia akan dipancung. Tidak pernah mengenal erti kesedihan, penyair itu tidak mampu menulis puisi itu. Setiap hari dia mencuba untuk menulis, namun tidak berjaya. Melihat keadaannya itu, isterinya memutuskan untuk memperlihatkan kepadanya kesedihan dengan cara yang sangat dramatik iaitu dengan menghunus pisau ke dadanya sendiri. Penyair itu melihat isterinya membunuh diri di hadapannya yang akhirnya menjadikan penyair itu memahat kemurungan. Dia berjaya menghasilkan sebuah puisi ratapan dan membacakan puisi itu kepada raja yang kejam dan zalim.Raja itu tidak dapat menanggung derita mendengarnya yang akhirnya membawa kepada kematian raja. Dan kemudian, setiap hari penyair itu membaca puisi tersebut yang menjadikan seluruh negara dalam keadaan kemurungan.

Selepas beliau meninggal dunia, penduduk menarik nafas lega. Sehinggalah anak penyair menggantikan tempat ayahnya untuk membaca puisi. Sejak itu, setiap sepuluh tahun seorang gadis yang baru dipilih untuk membaca puisi harian supaya bandar itu tidak pernah lupa akan kesedihan yang ditanggung oleh penyair.

p/s : Jangan lupa cerita penuhnya minggu depan.

Thursday, April 10, 2014

Kristina... (Fragmen 9)


Kristina... Fragmen 9

1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
1...2...3...4...5...6...7...8...9...10...
“Huh...Huh...Huh...” Perlakuannya tiba-tiba terhenti. Dia menghentikan kiraan. Dia terduduk. Peluh menitik jatuh dari muka. Disapunya perlahan. Dia menundukkan kepalanya. Memandang lantai simen. Dia cuba untuk membuang kepenatan. Lama juga dia memandang lantai simen itu. Tak lama, kedengaran bunyi tapak kaki. Bunyinya semakin kuat dan menghampiri. Tertarik dengan bunyi itu, dia mendongakkan kepalanya. Dia terpandang satu susuk tubuh atletik di hadapannya. Lelaki itu tersenyum memandangnya. “Letih ke?” tanya lelaki itu. Dia hanya mengangguk perlahan. “Simon, ajar aku cara menumbuk.”  Tiba-tiba dia bersuara. Menyatakan hasratnya kepada lelaki itu. Spontan, Simon menghayunkan kedua belah tangannya dan melakukan aksi menumbuk. “ Ajar kau  cara menumbuk? Kau larat lagi ke? Penat betul kau aku tengok. Muka pun dah merah-merah,” ujar Simon. “ Larat lagi ni,” dia membalas kata-kata Simon. “Baiklah,” Simon menjawab lalu menghulurkan tangannya. Dia menyambut tangan Simon dan segera angkat. Kemudian, keduanya saling membuka baju dan meletakkannya di tepi. Gelagat mereka berdua menarik perhatian pengunjung taman tasik itu. Tidak lupa juga kepada dua orang gadis yang sedang lalu di hadapan mereka. “Wow...kau lihat tu,” kata salah seorang daripada gadis itu. Rakannya tersenyum dan kemudian tertawa kecil. “Mantapnya,” kata gadis itu lagi. Susuk tubuh Simon memang tegap dan cantik.Terutama pada bahagian perutnya yang berketul. Sifar lemak di situ. Dia pula sedikit kurus namun susuk tubuhnya masih menampakkan dirinya sebagai seorang petinju. Walaupun seakan menyedari diperhatikan oleh orang di sekeliling, mereka berdua tetap meneruskan latihan. Berlatih di luar, dengan udara petang yang menghembus lembut sememangnya memberikan pengalaman latihan yang berbeda. Lebih nyaman dan tenteram berbanding di dalam gim yang tertutup. Ini secara tidak langsung memberi kesan yang positif terhadap emosi petinju. Petang itu,mereka berlatih teknik tinju yang biasa dilakukan seperti tumbuk lurus (jab), tumbuk sauk (uppercut), dan tumbuk cangkuk (hook). “Ada caranya untuk memperkeras tinju atau pukulan. Semuanya dapat diperoleh dengan latihan yang rutin. Memiliki tinju atau pukulan yang keras tentunya akan meningkatkan kepercayaan diri kita saat hendak melakukan sparing.Kita akan yakin kalau lawan yang kita pukul akan terjatuh hanya dengan melakukan beberapa pukulan saja, tapi harus memiliki ketepatan target yang bagus dalam melakukan pukulan,” kata Simon. “Jadi, apa caranya?” dia bertanya.. “Macam yang kau biasa lakukan, ‘Push Up’. Lagi satu, memukul dinding,” kata Simon lagi. “Memukul dinding?”dia bertanya lagi. “ Ya, tapi bukan seperti hendak memukul orang. Hati-hati, boleh cedera tangan dibuatnya. Lakukan dengan perlahan-lahan tapi lakukan sampai berulang kali. Jangan terlalu perlahan juga, kau dapat mengatur kekuatannya sesuai kemampuan,” jelas Simon lagi. “Terima kasih, Simon. Kau banyak ajar aku,” dia berkata. “Alah, hal kecil itu.” kata Simon. Sesaat, Simon memandang mentari yang hampir melabuhkan tirai.  “Eh, dah lewat ni, hari pun dah semakin gelap. Jom, kita balik,” ajak Simon. Dia mengangguk perlahan, dan keduanya mula berjalan pulang dari taman tasik itu. Sepanjang perjalanan pulang itu, dia berfikir sesuatu. Dalam diam, dia amat mengagumi lelaki bernama Simon. Simon yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada dia. Dia, dia yang bernama Ronny Mark.
Bersambung Fragmen 10. Nantikan sambungannya...