Gambar : Google Images
Thursday, March 27, 2014
Lelaki Ini (Fragmen 1 - 2)
Lelaki Ini~Fragmen 1 – Fragmen 2
Lelaki Ini...~Fragmen 1
William ialah
seorang pemuda yang berwajah biasa dan berpewatakan sederhana. Kalau dilihat
secara luaran, terutama bagi mereka yang tidak mengenalinya akan memikirkan
yang William seorang lelaki yang amat serius.Namun, hakikatnya tidak begitu.
Dia seorang yang suka bergurau.Tetapi,tidaklah sepanjang masa. Ada masanya dia
akan terasa dan terganggu seperti orang lain apabila ada perkara yang tidak
menyenangkannya. Sewaktu di sekolah menengah, William tidak terlalu menonjol
sifatnya terutama dari segi perlakuan dan tingkahlaku. Sedia faham, waktu
itulah pelbagai perkara menarik akan berlaku dalam diri seseorang. Salah
satunya, yang melibatkan hati dan perasaan. Belajar mengenal erti cinta dan
memendam rasa. Kalau disuruh menghuraikan apa erti kasih sayang, pasti semua
dapat menulisnya berjela.Tetapi bagi William, zaman persekolahan bukan masanya
untuk mengejar cinta, kerana waktu itu kita masih ditanggung oleh ibu bapa.
Fikirnya, kalau hendak membelanja gadis pun terpaksa menggunakan wang saku yang
bukan dari keringat sendiri.Oleh itu, dia tidak mahu memikat sesiapa waktu itu.
Masa pun berlalu, dan William melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti
tempatan. Semasa menuntut di universiti, dia mula meluaskan pergaulannya.Namun,
hatinya masih belum terbuka untuk bercinta kerana dia ingin menumpukan sepenuh
perhatian kepada pelajaran. Setelah tiga tahun, dia menamatkan pelajarannya dan
mendapat pekerjaan.Sebagai seorang yang sudah bekerjaya, William memikirkan
bahawa sudah sampai masa untuknya membalas jasa kedua ibu bapanya.Masa pun
berlalu.Tiga tahun selepas itu, hatinya terbuka untuk mengenali
seseorang.Fikirnya, inilah masa terbaik untuk menjalin hubungan dan membina
ikatan.Iyalah, kalau hendak membelanja gadis keluar makan dan membeli hadiah
harijadi pastinya menggunakan wang sendiri.Dan, selama tempoh tiga tahun itu
dia sudah mengumpul sejumlah wang yang mencukupi untuk berkahwin. William telah
berkenalan dengan seorang gadis. Perhubungan mereka berlangsung baik.Tidak
lama, gadis itu mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran.Kali ini, mereka
terpaksa berjauhan.Setahun selepas itu, Janice, iaitu seorang pekerja baru mula
melapor diri di tempat William bertugas. Pernah satu ketika, William mengusik
kawannya Brandon bahawa gadis itu sering memerhatikannya.Namun, Brandon
menyatakan sebaliknya. Entah bagaimana, secara tidak sengaja (?) William
mendekati Janice. Janice memberi maklum balas yang positif.Mereka mula
menjalinkan hubungan.Sampai masa, William merasakan dia tidak berlaku adil
kepada Celine.Akhirnya, William memberitahu perkara sebenar kepada Celine.Dia
meminta maaf di atas apa yang telah dia lakukan.Alasannya, hubungan jarak jauh
amat mencabar, dan hubungan itu baru sahaja terjalin. William berkeputusan
untuk melepaskan Celine.Dia merasakan bahawa Celine akan berjumpa seseorang
yang lebih baik daripadanya di sana.Celine amat kecewa dengan pengakuan
William.Dia tidak menyangka William akan bertindak begitu.Celine menyatakan
tiada seorang yang lebih baik daripada William.Baginya, William ialah udara
yang dihirupnya setiap hari.Ertinya William ialah nyawanya.Tiada William,
tiadalah Celine. Kata-kata Celine membuatkan William tersentak.Dia seperti
disedarkan oleh sesuatu.Seperti satu suara berbisik,”William, jangan kecewakan
gadis ini.Dia amat menyintaimu.”Akhirnya, setelah berfikir panjang, William
membuat keputusan untuk mengekalkan hubungannya dengan Celine.William
memberitahu Janice perkara sebenar bahawa dia sudah mempunyai kekasih dan ingin
memutuskan hubungannya dengan Janice.Janice kecewa dengan pengakuan William
namun tidak pula membenci William.Cuma, dia berharap William sudi keluar
bersiar-siar dan makan bersama dengannya untuk kali terakhir sebagai pasangan
kekasih.William memenuhi permintaan Janice.Sepanjang perjalanan pulang, Janice
menyandarkan kepalanya di bahu William, dan William memandu kereta milik Janice
dengan perlahan.Saat William ingin keluar dari perut kereta, Janice membuat
permintaan.Dia ingin memeluk dan mengucup lelaki itu buat kali terakhir.William
membenarkan.Beberapa hari kemudian, Janice memberi sepucuk surat kepada
William.William membaca surat itu.Isi surat itu adalah luahan hati
Janice.William berkongsi perkara itu dengan Brandon.Brandon menjelaskan kepada
William bahawa Janice benar-benar menyintainya.William menyedari perkara itu.Bahkan,
dia pun merasakan bahawa Janice amat hampir di hatinya berbanding
Celine.Tentunya begitu, kerana dia bersama dengan Janice hampir setiap hari.Di
tempat kerja, dan pada hujung minggu.Celine pula jauh di matanya.Tidak lama,
Brandon mendekati Janice dan cuba mengubat hatinya.Janice tersentuh dengan
kebaikan Brandon.Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumah
tangga.William cuba mengembalikan kepercayaan Celine kepadanya.Memang susah
untuk mengembalikan kepercayaan seseorang.Dan, William mengambil masa empat
tahun untuk itu.Kemudian, seorang lagi pekerja baru melapor diri di tempat
William bertugas.Namanya Abigail.Dan, apa yang berlaku dahulu, berulang
kembali.William tertarik dengan Abigail...(Bersambung fragmen 2)
Lelaki Ini...~Fragmen 2
Abigail. Gadis yang peramah dan baik
dengan semua orang. Tahun pertama dia bekerja, Abigail bertanyakan info
mengenai pekerja di situ, termasuk info William. William menyedari akan
kehadiran pekerja baru itu tetapi berbuat seperti biasa. Masa pun berlalu.Tahun
kedua Abigail bekerja di situ, William banyak mendengar cerita buruk mengenai
Abigail. Biasalah, politik tempat kerja. Merendah-rendahkan potensi
seseorang.Berbual tentang kekurangan dan kelemahan. Entah mengapa, William
merasa kurang senang mendengar cerita sebegitu. William membuat keputusan untuk
memberitahu Abigail. Abigail terkejut dengan apa yang William katakan
kepadanya. Dia tidak menyangka selama ini dia menjadi bahan perbualan semua
orang. Dan, apa yang menyedihkan tiada siapa yang memberitahunya selama ini
kecuali William. Pada suatu malam, Abigail menghantar mesej pesanan ringkas
kepada William. Dia meluahkan perasaan sedih dan kecewanya mengenai info yang
diberitahu oleh William kepadanya. Malam itu, William melayan segala luahan
Abigail. Semenjak dari itu, mereka berdua agak selalu bermesej dan bercerita
mengenai perkara berkaitan tempat kerja. Pernah, William meluahkan masalah
mengenai kerjanya kepada Abigail. Keluhan dan tidak puas hati. Saat itu,
Abigail menjelaskan itulah perasaannya ketika William memberitahunya akan
perkara yang menyentuh mengenai dirinya dahulu. Namun, ianya lebih mengguris
dan menyakitkan. Dan, William amat terkejut mendengar penjelasan Abigail
seterusnya. “ William, saat saya menghantar mesej pesanan ringkas kepada awak
malam itu, dan saat saya meluahkan segalanya, air mata saya menitis.Dan, saya
menangis semalaman...” (Bersambung fragmen 3)
Aishar Atsemes (Fragmen 1 - 2)
Aishar Atsemes~(Fragmen 1 – Fragmen 2)
Aishar Atsemes~ Fragmen 1
Socram Gnapel, Maharba Gnareyn, dan
Ynnor Iaregetnom ialah tiga orang adik-beradik yang berasal daripada sebuah
keluarga petani yang miskin. Pada suatu hari, seorang pengembara bernama Uannum
Namron telah ditemui pengsan di hadapan pondok rumah mereka akibat dahaga dan
kepenatan.Dia telah dirawat oleh ayah mereka.Setelah sembuh,Uannum Namron
membalas jasa dengan membantu mereka bertani.Socram, Maharba, dan Ynnor amat suka
bergaul dengan Uannum Namron dan begitu juga dengan Uannum Namron. Dia amat
menyenangi keluarga itu.Sampai masa, Uannum Namron menyatakan hasrat untuk
menyambung pengembaraannya. Malam itu, ayah mereka telah bermimpi didatangi
oleh seorang lelaki tua.Lelaki tua itu berkata bahawa ketiga-tiga anaknya perlu
mengikut Uannum Namron mengembara.Lelaki tua itu memberitahu lagi yang Uannum
Namron bukan seorang pengembara biasa tetapi dialah yang akan membuka takdir
ketiga-tiga anaknya.Mimpi itu amat mengejutkan ayah mereka dan menceritakan
mimpi itu kepada ibu mereka. Ayah mereka berhasrat untuk memberitahu Uannum
Namron akan perkara itu, tetapi dihalang oleh ibu mereka dengan alasan Uannum
Namron tidak akan bersetuju untuk membawa ketiga-tiga anak mereka bersamanya.Ibu
mereka berkata hanya ada satu jalan sahaja, iaitu kedua-dua mereka lari
meninggalkan ketiga-tiga anak mereka secara senyap.Ayah mereka terkejut dengan
kata-kata ibu mereka.Dia tidak menyangka ibu mereka sanggup berkata
begitu.Namun, ibu mereka menjelaskan jika benar Uannum Namron akan membuka
takdir ketiga-tiga anak mereka, maka keputusan itu perlu diambil walaupun amat
berat.Dan, saat Uannum Namron dan ketiga-tiga anak itu sedang tidur, ayah dan
ibu mereka meninggalkan tempat itu. Ibu mereka sempat mengucup dahi ketiga-tiga
anaknya.Dia berasa amat sebak.Saat itu, air matanya mula menitis namun
ditahannya untuk menangis kerana tidak mahu ketiga-tiga anaknya tersedar. Pagi
itu, Uannum Namron bangun seperti biasa. Namun, dia sedikit hairan, kerana tidak
dikejutkan oleh ayah mereka.Tiba-tiba, dia terdengar suara Socram dari
dalam.Kemudian berbalas dengan suara Maharba.Tidak lama, dia terdengar Ynnor
menangis.Uannum Namron semakin kehairanan sehingga Socram keluar mendapatkannya
dan memberitahu kedua-dua ibu bapa mereka tiada di situ. Uannum Namron
terdiam.Dia berdiri kaku.Seperti dia juga memahami sesuatu, sebenarnya.
Hakikatnya, dia telah lama didatangi oleh seorang lelaki tua dalam
mimpinya,iaitu akan ada tiga orang anak lelaki milik keluarga petani yang
miskin akan diajari olehnya nanti.Namun, kebaikan keluarga itu menahan Uannum
Namron tinggal lebih lama di situ. Itulah takdir Uannum Namron.Dan kini Uannum
Namron akan membuka takdir ketiga-tiga anak itu. Bersambung Fragmen 2~
Aishar Atsemes~Fragmen
2
Uannum Namron ialah
seorang pemuda yang berusia 24 tahun. Dia ialah anak kepada seorang tukang kayu
yang bernama Semaj Hpesoj. Sejak dari kecil lagi Uannum Namron telah diajar
oleh ayahnya seni pertukangan. Semaj Hpesoj berharap agar suatu hari nanti
Uannum Namron boleh menggantikan tempatnya. Ketika berusia 10 tahun, ibunya Yma
Yram telah diserang penyakit batuk kering. Semaj Hpesoj telah membawa seorang
tabib iaitu Yak Gniy datang ke rumahnya untuk merawat isterinya. Yak Gniy
memberitahu bahawa penyakit isterinya itu sukar untuk diubati melainkan dengan
adanya air rebusan rukec. Rukec ialah sejenis tumbuhan herba yang amat jarang
didapati melainkan hanya terdapat di hutan Aiag. Yak Gniy memberitahu lagi
bahawa tiada siapa yang berani pergi ke hutan Aiag kerana hutan Aiag dijaga
oleh seekor binatang buas yang dipanggil Sanag. Sanag dikatakan binatang buas
yang boleh berkata-kata dan memperdaya manusia. Sebelum sesiapa boleh membawa
pulang sesuatu dari hutan itu, Sanag akan meminta manusia menjawab teka-tekinya.
Sekiranya gagal menjawab, Sanag akan membunuh mereka dengan kejam sekali.
Jantung, hati, paru-paru, dan segala isi perut akan dikeluarkan oleh Sanag dan
dilapahnya mentah-mentah. Kepala pula akan diikat dan digantung di atas pokok
Gnapat. Semaj Hpesoj mendengar penjelasan Yak Gniy dalam ketar namun wajahnya
masih tenang. Yak Gniy bertanya kepada Semaj Hpesoj adakah dia berani untuk
pergi ke hutan Aiag untuk mendapatkan rukec.Semaj Hpesoj memberitahu sekiranya
hanya air rebusan rukec yang dapat menyembuhkan isterinya, dia sanggup untuk
pergi ke hutan Aiag. Yak Gniy tidak berkata apa lagi. Sebelum Yak Gniy meminta
diri untuk pulang, dia berpesan kepada Semaj Hpesoj iaitu sekiranya Semaj
Hpesoj berjaya mendapatkan rukec dia mesti segera pulang dan tidak boleh
menoleh ke belakang. “Ingat, Semaj. Walau apapun yang awak dengar dan rasa,
jangan sekali-kali menoleh ke belakang. Terus pulang sehingga awak selamat
sampai di rumah.” Semaj Hpesoj memandang wajah Yak Gniy, kemudian dia
mengangguk perlahan.
Nantikan sambungannya
di Fragmen 3...
Titis Gerimis (Fragmen 1 - 3)
Selekoh Terakhir ( Fragmen 1 - 4)
![]() |
Guran |
Selekoh Terakhir...
(Fragmen 1 hingga 4)
Selekoh
Terakhir (Fragmen 1)
Selekoh
Terakhir...Cerita ini mengisahkan tentang seorang pelumba haram bernama Guran
yang berusia 20 tahun. Malam itu, Guran berlumba dengan Aloi. Guran ketinggalan
kira-kira 10 meter. Aloi yang mendahului tiba-tiba merasakan ada sesuatu yang
tidak kena. Motosikalnya semakin perlahan. Walaupun dia memulas sehabis daya,
juga tidak menjadi. Guran berjaya memintas Aloi. Guran mengejek Aloi dan terus
memecut laju. Aloi semakin tertinggal. Guran memusing kepalanya ke belakang.
Dia ingin mengejek Aloi sekali lagi. Kemudian dia berpaling semula. Tiba-tiba
seekor kucing hitam buru-buru melintas jalan. Guran membrek mengejut. Guran hilang kawalan. Tangannya
terlepas. Dia terpelanting ke sebelah kanan jalan. Sebuah kereta datang dari
arah bertentangan. Menderu. Melanggar Guran. Guran terpelanting lagi. Kali ini
lebih jauh.Guran terlentang. Bahu kanannya terpulas. Kaki kirinya terlipat.
Tubuhnya terketar-ketar. Bibirnya terjuih. Tak lama, lendiran merah keluar
perlahan dari mulut. Hergh...Hergh...Guran sedaya bernafas. Matanya mula
memberat. Guran berusaha membuka. Tidak...Aku
tidak mahu mati. Perlahan, mata Guran menutup.Rapat. Tiba-tiba Guran dikejutkan
oleh satu suara. Dron, sahabatnya mengejutkan Guran. Dron mengejutkan Guran
kerana dia ada perlumbaan dengan Aloi malam itu. Guran masih terpinga-pinga.
Dron mengingatkan Guran lagi tentang perlumbaan itu. Sesaat, Guran teringat
tentang kucing hitam yang buru-buru melintas jalan. Di satu selekoh, ketika
seekor kucing hitam sedang melintas jalan, itulah saat kematian kau, Guran.
Guran membatalkan niatnya untuk berlumba. Dron terkejut mendengar jawapan yang keluar
dari mulut Guran. Guran menyapu wajahnya. Tangannya terketar-ketar.Sesaat, dia
merasakan tubuhnya lain semacam.Seram dan sejuk.Dadanya masih
berdebar.Jantungnya berdegup pantas.Sedaya dia cuba menenangkan diri. Guran
menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembuskannya perlahan. Dron kehairanan
melihat tingkah laku Guran. Dron bertanya tentang keadaan Guran. Guran meminta Dron mengambilkannya segelas air
kerana dia merasa amat haus.Malam itu, Guran tidak jadi berlumba. Sebaliknya,
dia pergi ke sebuah bar dan minum untuk menenangkan diri. Dron berasa takut
dengan keputusan Guran. Ini kerana orang yang akan berlumba dengan Guran ialah
Aloi, dan Guran sudah berjanji untuk berlumba malam itu. Di tempat perlumbaan,
ramai orang sudah berhimpun. Sudah lama Aloi menunggu tetapi dia tidak melihat
kelibat Guran. Aloi tidak dapat menahan kemarahannya. Dia menghempaskan helmet
ke tanah sambil menyumpah. Dia menjerit nama Guran. Aloi rasa tertipu dan
dimalukan di hadapan kawan-kawannya. Dan dia merasakan Guran patut menerima
balasan.Waktu itu, Aloi teringat akan satu perkara yang boleh memuaskan
hatinya. Sesuatu yang boleh menebus malunya. Apakah maksud mimpi Guran itu?
Adakah ia gambaran kematiannya? Apa yang akan berlaku seterusnya kepada Guran?
Bagaimana dia akan berhadapan dengan Aloi? Dan apakah perkara yang boleh
memuaskan hati Aloi dan dapat menebus malunya?
Selekoh
Terakhir… (Fragmen 2)
Guran
masih lagi di bar. Minum untuk menenangkan diri. Guran berkata sesuatu kepada
pelayan bar. Dia meminta segelas Jack Daniels lagi. Pelayan itu memerhatikan
Guran. Pelayan itu tidak berkata
apa-apa. Dia menuangkan wiski ke dalam gelas. Guran meneguk wiski.Sudah banyak
Guran minum. Dia cuba untuk melupakan mimpinya tadi. Namun, kepalanya masih
sarat dengan pelbagai persoalan. Apakah maksud mimpinya sebentar tadi? Benarkah
ianya gambaran kematiannya? Tidak pernah dia bermimpi seperti itu sebelum ini.
Mimpi itu benar-benar mengerikan. Guran mengingat semula bagaimana seekor
kucing hitam yang buru-buru melintas jalan. Guran membrek mengejut dan hilang
kawalan. Tangannya terlepas dan dia terpelanting ke sebelah kanan jalan. Sebuah
kereta yang datang dari arah bertentangan menderu dan melanggar Guran. Guran
terpelanting lagi dan kali ini lebih jauh. Guran terlentang. Bahu kanannya terpulas. Kaki kirinya
terlipat. Tubuhnya terketar-ketar. Bibirnya terjuih. Tak lama, lendiran merah
keluar perlahan dari mulut. Hergh...Hergh...Guran sedaya bernafas. Matanya mula
memberat. Guran berusaha membuka. Perlahan, mata Guran menutup.Rapat. Mimpinya
sampai di situ sahaja kerana dia tersedar apabila dikejutkan oleh Dron. Di satu
selekoh, ketika seekor kucing hitam sedang melintas jalan, itulah saat kematian
kau, Guran. Guran mengusap rambutnya. Adakah itu satu petunjuk? Adakah dia
benar-benar akan ditimpa kemalangan dan mati sekiranya berlumba dengan Aloi
malam ini? Aloi, lelaki itu pastinya sedang menunggunya di tempat perlumbaan.
Dan tentunya juga lelaki itu berasa marah kerana seperti dipermainkan oleh Guran.
Aloi akan ditertawakan oleh kawan-kawannya. Dan Aloi akan mencarinya selepas
ini kerana maruah Aloi sudah tercalar. Guran tidak tahu sama ada keputusannya
untuk tidak berlumba malam ini adalah tepat. Fikirannya buntu. Seperti dia
mempercayai mimpinya itu akan menempah nyatanya. Dan kucing hitam itu. Ya,
kucing hitam itu adalah sebab kematiannya. Wiski sudah habis diminum. Guran
seperti ingin minum lagi. Namun, kemudian niatnya untuk memesan segelas wiski
lagi dibatalkan. Guran seperti mendapat ketenangannya semula. Sesaat, dia
melihat pelayan bar. Guran tersenyum. Pelayan bar itu membalas senyuman Guran.
Tiba-tiba Guran teringat kepada seseorang. Oh, tidak! Dengan pantas, Guran
mengeluarkan wang dari dalam dompetnya dan menyerahkan kepada pelayan bar. “ Simpan
bakinya” kata Guran. Pelayan bar itu terpinga-pinga. Guran segera meninggalkan
bar itu dan berlari menuju ke arah motosikalnya. Amanda...
Bersambung di
Fragmen 3~
Selekoh Terakhir…(Fragmen 3)
Guran mengeluarkan
kunci motosikal dari dalam saku seluarnya. Kerana terlalu gopoh, kunci itu
terlepas dari tangannya lalu jatuh ke tanah. Guran segera menunduk untuk
mengambil kunci itu semula. Tiba-tiba dia terdengar suara seseorang menjerit
meminta tolong. Suara itu datangnya dari lorong di belakang bar itu. Guran
ingin cepat. Dia tidak ada masa untuk semua itu. Guran menghidupkan enjin
motosikalnya. Dia kemudiannya memecut meninggalkan bar itu. Jauh juga dia sudah
meninggalkan bar itu. Sesaat, Guran berasa serba salah. Orang itu dalam bahaya,
fikirnya. Guran berpatah balik. Dia menuju ke bar itu semula. Guran pergi ke
lorong belakang. Guran mencari arah suara itu tadi. Namun, suara itu sudah
tidak kedengaran lagi. Tidak lama, Guran terlihat sekujur tubuh gadis
terlentang. Guran segera menghampiri tubuh itu. Guran melihat wajah gadis itu
memucat. Kulitnya mengecut. Seperti orang kehilangan semua darah. Pandangan
Guran terarah kepada leher gadis itu. Di leher gadis itu ada dua kesan tusukan.
Di luar tusukan itu terdapat kesan darah yang masih membasah. Guran kehairanan.
Apakah yang telah berlaku kepada gadis ini? Adakah darahnya telah dihisap?
Guran diselubungi rasa takut. Dia segera lari meninggalkan gadis itu di situ.
Guran menghidupkan enjin motosikalnya. Dia kemudiannya memecut laju.
Wajah Guran
diterjah angin malam. Dia merasa seram sejuk. Gadis itu tadi telah dihisap
darahnya. Wajah gadis yang pucat dan kekeringan itu masih jelas terbayang.
Kenapa dia harus berpatah balik? Kenapa dia harus melihat semua itu? Dalam
ketar, Guran gagahkan dirinya untuk terus menunggang motosikalnya itu. Guran
teringat kepada Amanda semula. Dia terus memecut laju untuk segera pulang ke
rumah. Sesampainya di rumah, Guran segera memasang lampu ruang tamu. Dia
memanggil-manggil nama Amanda. Tidak lama, Amanda perlahan-lahan keluar dari
bilik.Dia meraba-raba sekitar. Guran segera mendapatkan Amanda. “Abang dah
balik? “ tanya Amanda. Guran memeluk erat Amanda, adiknya itu.Amanda
kehairanan. “Kenapa abang? Apa sudah berlaku?” tanya Amanda lagi. Guran tidak
menjawab. Sebaliknya terus memeluk Amanda. Tidak lama, mata Guran bergenang.
Air matanya menitis. Guran menangis. Amanda mendengar tangisan Guran. Dan
Amanda semakin kehairanan. Apa yang telah berlaku kepada abang?
Bersambung di
Fragmen 4~
Selekoh
Terakhir…(Fragmen 4)
Aloi membelek-belek
helmetnya yang tercalar dan sedikit pecah. Aloi merasa kesal kerana
menghempaskan helmetnya itu tadi. Schuberth SR-1, mahal bukan kepalang dia
membeli helmet teknologi itu. Namun, amat ringan tangannya menghayun dan
menghempaskan helmet itu ke tanah. Semuanya kerana Guran. Guran telah
mempermainkannya malam ini. Aloi berasa
tertipu. Aloi telah ditertawakan oleh kawan-kawannya. Dan dia rasa sungguh
malu. Aloi berasa amat tidak puas hati dengan apa yang telah Guran lakukan kepadanya.
Hatinya menyumpah Guran. Aloi meletakkan semula helmetnya di kerusi. Perlakuan
Aloi itu diperhatikan oleh Condut. Jelas, Aloi masih tidak dapat menyembunyikan
perasaan marahnya. Condut faham perasaan Aloi. Bagaimana Aloi meminta dia
membaiki motorsikalnya. Bagaimana Aloi memberitahu Condut bahawa dia mesti
menang malam ini. Begitu Aloi bersiap
sedia untuk berlumba dengan Guran. Namun, lain pula yang terjadi. Guran tidak
memunculkan diri malam ini. Sedangkan Guran sudah berjanji untuk berlumba
dengan Aloi. Aloi seperti orang bodoh, menunggu Guran yang tidak datang-datang.
Aloi menghirup habis bir Carlsberg di dalam gelas. Aloi mengeluarkan sebatang
rokok dan menghidupkannya. Rokok disedutnya dalam-dalam. Aloi melihat Condut.
Dia seakan tahu Condut memerhatikannya dari tadi. “Masih marah lagi?” Condut
memberanikan diri bertanya. “Huh! Rasa nak patah-patahkan tulang Guran,” kata
Aloi. “Sabar, kawan. Nah, minum lagi,” Condut menuangkan bir Carlsberg ke dalam
gelas Aloi. Aloi membuang rokok yang belum lagi setengah dihisapnya ke tanah. Aloi
menatang gelas, menghirup bir Carlsberg itu lagi. Aloi meletakkan gelas itu di
meja semula. Condut ingin menuangkan lagi, namun dihalang oleh Aloi.
“Cukuplah,” kata Aloi. Tidak lama, Aloi mengambil helmetnya di atas kerusi dan
kemudian berdiri. Dia seperti ingin beredar dari situ. Perlakuan Aloi menarik
perhatian Condut. “ Kau hendak ke mana?” tanya Condut. “ Balik,” kata Aloi.
“Baiklah, jaga diri kawan,” kata Condut. Aloi mengangguk. Aloi memakaikan
helmet di kepala. Dia menuju ke arah motorsikalnya. Aloi menghidupkan
motorsikalnya. Kemudian memecut dan beredar dari situ. Condut masih lagi di
situ. Dia memerhatikan Aloi yang sudah pergi. Condut kemudiannya melambai ke
arah tauke kedai. Tauke itu perasan dengan perlakuan Condut “Carlsberg, satu
botol lagi!” kata Condut. “Baik,” kata tauke kedai itu.
Aloi sudah tiba di
rumah. Perlahan, dia mengeluarkan kunci pagar dari saku seluarnya. Sedang dia
ingin membuka pagar, tiba-tiba Aloi terdengar seperti seseorang berkata-kata dengannya.
“Amarah, di dalam hatimu kulihat penuh amarah,” kata suara itu. Aloi berpaling,
dia melihat satu susuk bayang-bayang hitam di hadapannya. “Lepaskanlah amarahmu
itu,” kata suara itu lagi. Bayang-bayang hitam itu menghampiri Aloi. Aloi
menggeletar. Dia kaku dan tidak bergerak. Lidahnya kelu. Bayang-bayang hitam
itu mengangkat tangannya, mengarahkan telunjuknya ke dahi Aloi. Telunjuk
bayang-bayang hitam itu menyentuh dahi Aloi. “Ikut aku...”kata bayang-bayang
hitam itu. Tiba-tiba, Aloi merasakan tubuhnya memberat. Akhirnya, dia jatuh dan
pengsan.
Bersambung di
Fragmen 5~Nantikan sambungannya...
Gambar : Google Images
Perahu Timun Iban (Fragmen 1 - 3)
Kristina... (Fragmen 1 - 8 )
![]() |
Kristina Diamond |
Kristina... (Fragmen1)
Kristina~Dia Tidak Tahu Akan Kewujudanku.Cerita ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Kristina yang berusia 17 tahun. Kristina merupakan seorang pelajar yang baru berpindah sekolah. Semasa diperkenalkan oleh Cikgu Stephen, Kristina berharap agar kehadirannya diterima oleh rakan sekelas. Seorang pelajar bertanya akan hobi Kristina. Kristina memberitahu bahawa dia amat meminati bidang fotografi. Baginya, gambar adalah kehidupan yang tersuling dan terpelihara selamanya. Wajah yang ekspresif, masa yang sekejap dalam alam, bentuk yang abstrak, semua ini adalah asas-asas fotografi. Sebuah gambar menyampaikan sesuatu yang tidak boleh dijelaskan melalui kata-kata, rasa misteri dan keindahan hidup, sifat dan pencapaian manusia. Kata-kata Kristina membuatkan pelajar itu terdiam. Cikgu Stephen memandang Kristina, menepuk tangannya kemudian disertai oleh semua pelajar. Mereka kagum dengan kata-kata Kristina. Kehadiran Kristina di sekolah itu telah menarik perhatian semua orang, tidak lupa juga seorang pelajar bernama Mike. Dia ialah pelajar dari kelas sebelah. Tanpa pengetahuan Kristina, Mike sering memerhatinya dari jauh. Namun, apabila terserempak Mike segera menunduk dan mengalihkan pandangannya daripada Kristina. Kristina menyertai Kelab Fotografi di sekolahnya. Suatu hari, Kristina telah masuk ke kelas sebelah untuk mengedarkan risalah pertandingan fotografi.Kehadiran Kristina tidak disedari oleh Mike kerana waktu itu Mike sedang leka melukis. Sampai di meja Mike, Kristina ingin menyerahkan risalah. Sesaat, dia tertarik dengan apa yang Mike lakukan. Kristina memerhatikan Mike. Mike menyedari sesuatu sehinggakan dia mendongakkan kepala. Mike amat terkejut dengan kehadiran Kristina.Dia hilang imbangan dan terjatuh dari kerusi. Perlakuan Mike membuatkan Kristina tidak dapat menahan ketawanya. Mike berasa amat malu dengan kejadian itu. Dia segera bangun, dan lari keluar dari kelas. Tindakan Mike mengejutkan Kristina. Dan, Kristina bertambah terkejut melihat apa yang dilukis oleh Mike. Apakah yang dilukis oleh Mike sehingga membuatkan Kristina terkejut? Adakah Mike mampu melupakan kejadian yang memalukan itu? Dan bagaimana hubungan keduanya nanti?
Kristina... (Fragmen 2)
Mike segera bangun dan lari keluar dari kelas. Dia tidak menyangka gadis yang berdiri dan memerhatikannya tadi ialah Kristina. Ya, Kristina Diamond. Gadis yang selama ini diperhatikannya dari jauh dan diminatinya dalam diam. Dia berasa amat terkejut, tidak dapat mengimbang dan terjatuh dari kerusi. Dia berasa amat malu dengan kejadian itu. Dan lebih memalukan lagi Kristina mentertawakannya. Mike berlari menuju ke arah sepohon pokok rendang di padang. Dia mendudukkan diri di atas rumput. Cuba sedayanya untuk menenangkan diri dan rasa gelabahnya. Kristina mentertawakannya. Jahatkah Kristina? Siapa pun pasti tertawa, fikir Mike. Mike mengusap rambutnya. Mike terfikir, kenapa agaknya Kristina datang ke kelasnya tadi? Apa yang Kristina buat di situ? Kenapa Kristina datang ke arahnya? Sudah lamakah dia diperhatikan? Segalanya berlegar dalam kepala Mike. Mike menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tiba-tiba Mike teringat apa yang dilakukannya tadi sehingga tidak menyedari kehadiran Kristina. Dia memegang sebatang pensel dan sedang melukis. Melukis? Ya, melukis. Dan lukisan itu masih terletak di atas meja. Di atas meja? Oh, tidak!
Kristina terkejut dengan perlakuan Mike. Mike yang terjatuh dari kerusi segera bangun dan lari keluar dari kelas. Kristina tidak dapat menahan ketawa melihat Mike. Adakah Mike lari keluar dari kelas kerana dia malu ditertawakan? Kristina tiba-tiba dirundung rasa bersalah. Rasa bersalah kerana mentertawakan Mike. Tapi, Kristina tidak sengaja. Bukan niatnya untuk sengaja ketawa dan memalukan Mike. Dia betul-betul tidak dapat menahan ketawanya. Dan Kristina tidak sempat berkata apa-apa apatah lagi memberikan penjelasan. Niatnya masuk ke kelas sebelah hanya untuk memberi risalah pertandingan fotografi. Cuma, dia tertarik dengan apa yang dilakukan oleh Mike yang membuatkannya memerhatikan lelaki itu. Sesaat matanya tertumpu ke arah lukisan di atas meja Mike. Oh, ini yang dilakukan oleh lelaki tadi. Dia sedang melukis, fikir Kristina. Kristina memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang sedang...
Kristina... (Fragmen 3)
Kristina memegang lukisan itu. Diperhatikannya dengan teliti. Tiba-tiba muka Kristina merona merah. Dia tidak menyangka bahawa Mike melukis dirinya. Dirinya yang sedang duduk, dirinya yang sedang berdiri, dirinya yang sedang berjalan. Dan dirinya yang sedang mengambil gambar, iaitu yang paling besar sekali terletak di tengah-tengah. Apa yang lebih mengejutkan Kristina ialah lukisan itu sungguh ekspresif. Emosi Kristina tergambar sepenuhnya pada wajah yang dilukis. Kristina tidak menyangka Mike dapat melukis dirinya sampai begitu sekali. Perasaan Kristina sewaktu mengambil gambar juga dinyatakan oleh Mike dengan tepat. Kristina juga tidak menyangka selama ini dia diperhatikan oleh Mike. dan Mike menjadikannya subjek dalam lukisan. Kristina tidak tahu sama ada dia rasa takut atau gembira ketika itu. Takut, kerana dia selama ini diperhatikan. Gembira, kerana ada orang yang meminatinya dalam diam. Agak lama Kristina memegang lukisan itu. Seperti dia tidak mahu melepaskannya. Akhirnya dengan cermat, dia kemudiannya meletakkan lukisan itu di atas meja semula. Kristina terpandang pensel yang digunakan oleh Mike untuk melukis. Tiba-tiba, Kristina terfikir sesuatu. Dia kemudiannya mengambil pensel itu dan melukis tanda ;) berserta sepotong ayat berbunyi “ hatiku bersimfoni...” di ruangan tepi sebelah kanan bawah lukisan itu.
Mike berlari menuju ke kelas semula. Dia ingin mendapatkan lukisan itu. Sampai di kelas, Mike terlihat Kristina yang sedang menulis sesuatu pada lukisan itu. Kristina tersedar ada seseorang datang secara tergesa-gesa berdasarkan bunyi tapak kaki. Kristina segera berpaling. Kristina terlihat Mike. Bibir Kristina menguntum senyum. Mike kemudiannya tertunduk. Habislah...
Bersambung Fragmen 4
Kristina dan Mike saling berpandangan. Bibir Kristina menguntum senyum. Mike kemudiannya tertunduk. Habislah...fikir Mike dalam hatinya. Habis, kerana semua rahsianya sudah diketahui oleh Kristina. Kerana selama ini dia memerhati Kristina dari jauh dan menjadikan Kristina subjek dalam lukisannya. Kristina meletakkan semula pensel di atas meja. Sekali lagi dia memerhatikan lukisan itu. Dan matanya terarah kepada sepotong ayat yang baru ditulisnya tadi. “ Hatiku bersimfoni...”, ayat itu ditulis oleh Kristina kerana dia merasakan hatinya cukup gembira saat itu. Hatinya damai berlagu seperti diiringi oleh kicauan burung dan orkestra. Takut? Kristina seperti tidak ada perasaan itu lagi. Sebaliknya dia pula ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri Mike. Perlahan, Kristina berjalan ke arah Mike. Mike merasakan Kristina semakin menghampirinya. Mike masih menunduk. Dia takut untuk mengangkat kepalanya. “Hei, kamu!” kata Kristina. Perlahan Mike mengangkat mukanya. TIba-tiba Kristina menghayunkan penumbuk ke muka Mike. Tetapi tidak singgah. Sengaja Kristina buat begitu untuk melihat reaksi Mike. Kristina kemudiannya tertawa. Menampakkan baris giginya yang cantik. Mike tersentak dengan perlakuan Kristina. Kali ini giliran Mike pula yang tersipu malu. Muka Mike pula yang merona merah.Tidak lama, datang seorang pelajar perempuan ke arah mereka berdua. Pelajar perempuan itu segera mendapatkan Kristina. Dia melihat Mike sesaat. Dia sedikit hairan. Apa yang Kristina buat bersama lelaki ini? Apa yang mereka bualkan? “ Kristina, apa yang kau buat di sini?” tanya pelajar perempuan itu. Kristina terdiam seketika. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai. “Tidak, aku beri risalah pertandingan fotografi tadi,” sahut Kristina. “Oh, begitu. Eh, Kristina! Cikgu Stephen cari kau,” beritahu pelajar perempuan itu. “ Cikgu Stephen cari aku?” Kristina kehairanan. “ Ya, cepatlah! Dia dah tunggu di bilik guru,” pelajar perempuan itu menarik tangan Kristina. “ Ya, sabarlah Isabel,” balas Kristina lagi. Kristina memandang Mike sekilas. Dia mengenyitkan mata dan tersenyum lagi. Isabel tidak melihat perlakuan Kristina. Mike semakin tersipu. Tidak sangka Kristina seberani itu mengusiknya. Tidakkah dia berasa takut? Takut kerana Mike melukis dirinya? Mike kehairanan melihat perlakuan Kristina. Kalau gadis lain sudah tentu dikoyak-koyakkan lukisan itu dan dia akan dimarahi serta dimalukan di hadapan pelajar lain. Mike masih tercegat di pintu kelas.
Tiba-tiba Mike teringat semula apa yang dilakukan oleh Kristina tadi. Kristina tadi sedang menulis sesuatu pada kertas lukisannya. Mike segera mendapatkan kertas lukisannya. Dia ingin membaca apa yang Kristina telah tulis Dan di ruangan tepi sebelah kanan bawah lukisan itu Mike terbaca, “hatiku bersimfoni...”. Hati Mike teruntun membaca sepotong ayat itu. Dia tidak menyangka Kristina akan menulis ayat itu pada lukisan yang dilukisnya. Dan kini, di kepala Mike mengandung banyak persoalan. Apakah yang dirasai oleh Kristina sebenarnya? Adakah gadis itu mula menyukainya atau sepotong ayat yang ditulis itu hanyalah satu usikan nakal Kristina? Mike mengusap kepalanya. Kristina, gadis ini meruntun hatiku...
Kristina... (Fragmen 5)
Kristina dan Isabel berjalan beriringan ke bilik guru. Saat tiba di pintu, mereka mengetuk perlahan. Kelihatan Cikgu Amber berdiri tidak jauh dari situ. Cikgu Amber perasan kehadiran mereka berdua. “Ya, Kristina, Isabel? Apa halnya ni?” tanya Cikgu Amber. Kristina dan Isabel terdiam seketika. Sesaat, mereka berdua melihat wajah Cikgu Amber. Cikgu Amber amat lain sekali. “Cikgu...” kata Isabel sambil memegang rambutnya. Cikgu Amber cuba menangkap kata-kata Isabel. Akhirnya, dia faham. “Oh, ini. Cikgu potong hari tu. Terfikir untuk luruskan. Jadi, cikgu luruskan,” kata Cikgu Amber. “Cantik, cikgu!” kata Kristina dan Isabel. “ Eh, Cikgu Stephen perasan tak? Hehe,” Usik Isabel. Cikgu Amber tersenyum malu. Dia mengusap rambutnya. Wajahnya mula merona merah kerana diusik oleh Isabel. Kristina memerhati sekitar. Di satu sudut dia melihat seorang guru lelaki sedang sibuk menulis sesuatu. “Cikgu Stephen yang panggil kami ke sini. Dia nak jumpa Kristina,” kata Isabel. “Oh begitu. Pergilah jumpa dia,” kata Cikgu Amber. “Cikgu ada pesan apa-apa tak? Nak kami kirim salam ke?”kata Isabel. “Tak ada. Eh, jangan,” Cikgu Amber diselubungi rasa malu dan takut. “Tak adalah cikgu, gurau saja. Baiklah cikgu, kami pergi dulu,” kata Isabel. “Ya,” jawab Cikgu Amber. “Huh...” Cikgu Amber mengeluh perlahan. Dia memerhatikan Kristina dan Isabel menuju ke arah Cikgu Stephen. Cikgu Stephen berhenti menulis dan berbual dengan Kristina dan Isabel. Sedetik, Cikgu Amber memerhati Cikgu Stephen. Guru muda itu cukup baik dengan pelajarnya. Lebih-lebih lagi dengan Kristina dan Isabel. Agak lama juga dia memerhatikan Cikgu Stephen, sehinggakan lelaki itu mula tersedar dan menoleh ke arahnya. Mata keduanya bertentangan. Cikgu Amber cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Cikgu Stephen tersenyum. Kristina dan Isabel terperasan. Tak lama, mereka berdua tersenyum dan ketawa. Cikgu Amber berasa semakin malu. Tak lama, Cikgu Amber meninggalkan bilik guru. Perlakuannya menyebabkan Kristina dan Isabel berhenti ketawa. Kristina dan Isabel dirundung rasa bersalah. “Apa kita dah buat ni?”kata Isabel. “Cikgu, kami nak pergi minta maaf.” Isabel menarik tangan Kristina tetapi dihalang oleh Cikgu Stephen. “Isabel, Kristina,” Cikgu Stephen menggelengkan kepala. “Kita teruskan perbualan. Lagipun banyak yang saya hendak beritahu Kristina.” Kristina dan Isabel terdiam. Mereka melihat wajah Cikgu Stephen yang cuba untuk menenangkan diri. “Maafkan kami cikgu,” kata Isabel.“Tak apa,” jawab Cikgu Stephen.
Kristina...(Fragmen 6)
Petang itu redup. Angin berhembus lembut. Dedaun berguguran ditiup angin. Stephen berjalan perlahan. Setibanya di kuburan, dia meletakkan setangkai bunga Lily di pusara. Amanda Dong, 1986-2007. Gadis yang ceria dan suka berjenaka. Terkadang manja. Apabila ketawa, lesung pipit di pipinya akan kelihatan. Dan, ini akan menyerikan wajahnya. Stephen membuang ranting dan daun yang gugur di atas pusara Amanda. “ Stephen, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup saya. Saya amat menghargainya. Saya pergi tidak lama. Tunggu saya, ya!” Itulah kata-kata terakhir Amanda sebelum gadis itu pergi buat selamanya. Dan, saat itu Stephen tidak menyangka nahas pesawat itu telah menghancurkan impiannya untuk hidup bersama dengan Amanda. Stephen masih ingat lagi, sehari sebelum Amanda pergi dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang diciptakannya khas buat Amanda, “Fly To You”. “Amanda, lagu ini saya ciptakan khas buat awak. Sedang awak jauh, dan teringatkan saya, awak panggillah nama saya. Tatkala itu juga saya akan pergi menemui awak,” Stephen teringat semula kata-katanya kepada Amanda. Sejak pemergian Amanda,Stephen tidak lagi menyentuh gitarnya. Dia sering mengunjungi pusara Amanda. Meletakkan bunga dan bersembahyang di pusara. Perlakuannya membimbangkan ibu dan bapanya. Mereka menasihati Stephen. Lama-kelamaan, Stephen beransur pulih. Dia mampu menerima kehilangan Amanda. Dia kembali memetik gitar, setelah sekian lama tidak bermain. Namun, dia tetap mencintai Amanda dan belum bersedia menerima mana-mana gadis lain untuk mengisi ruang hatinya yang sudah kosong. Dia teringat akan kata-kata ayah Amanda. “Stephen, pakcik lihat awak selalu juga pergi melawat pusara Amanda. Terima kasih Stephen,kerana masih ingat akan anak pakcik. Cuma, pakcik harap awak juga fikir akan kebahagiaan diri sendiri. Seberat-berat hati Stephen untuk melepaskan Amanda, berat lagi hati pakcik. Amanda sudah bahagia di sana. Lepaskanlah dia, Stephen.” kata ayah Amanda sambil memegang bahunya. Stephen hanya berdiam diri. Dia tidak menjawab kata-kata ayah Amanda. Sehelai daun kering menimpa rambut Stephen. Dia tersedar dari lamunannya. Sesaat, dia teringat kepada seseorang. Seseorang yang cuba menghadirkan diri dalam ruang hatinya. “ Amber, maafkan aku...” kata Stephen sendirian sambil menunduk perlahan.
Kristina... Fragmen 7
Ramai orang di perpustakaan hari itu. Kebanyakannya adalah pelajar. Biasalah, minggu ini minggu ulangkaji. Peperiksaan pertengahan tahun akan bermula minggu depan. Para pelajar mengambil kesempatan ini untuk pergi ke perpustakaan. Belajar dan membuat perbincangan secara berkumpulan. Di samping itu, mereka juga mencari buku rujukan yang bersesuaian dengan topik. Di luar perpustakaan, kelihatan seorang lelaki sedang duduk di tangga. Dia membaca sebuah buku. Matanya menyorot setiap catatan yang terdapat dalam buku itu. Sedang dia leka membaca, datang seorang gadis dari arah belakangnya. Gadis itu menepuk bahunya. “Ha, buat apa kat sini? Kenapa tak masuk dalam?” tanya gadis itu. Lelaki itu sedikit tersentak dengan tepukan itu. Dia menoleh ke belakang. “ Oh, kau Erina. Dalam banyak sangat orang. Kat luar ni seronok sikit. Rasa lebih tenang,” kata lelaki itu. “Alah, banyak kau punya alasan. Kau tak nak kat dalam sebab ada dia, kan?”Erina cuba mengusik lelaki itu. “Tak adalah,” jawab lelaki itu ringkas. Dia agak sedikit terganggu dengan pertanyaan itu. “Am, kau baca buku apa tu?” Buku yang dipegang oleh Am menarik perhatian Erina. Am menutup buku itu lalu memberikannya kepada Erina. Erina membaca tajuk buku itu. “Panduan menulis novel? Kau nak menulis novel ke, Am?” tanya Erina. Am tersenyum lalu mengangguk perlahan. “Wah, hebat! Daripada sajak beralih ke novel pulak,” kata Erina. “Aku nak cuba sesuatu yang baru. Bagi aku, novel itu sama juga seperti sajak. Ia adalah cerminan masyarakat,” jawab Am. “Betul, tu. Tak salah mencuba sesuatu yang baru. Am, novel pun novel jugak. Kau dah belajar ke? Minggu depan kita nak ujian,” tanya Erina. Erina memandang Am. Am mengatur cermin matanya. “Sudah,”kata Am. “Eh, Am! Marilah masuk dalam. Jangan seorang-seorang kat sini. Tak baik, nanti orang culik!” ajak Erina. “Tak apalah. Aku lebih suka kat sini. Err...Erina, buku aku,” kata Am sambil meminta bukunya kembali. “Kau nak buku ni, kau ikut aku masuk ke dalam. Marilah!” pujuk Erina lagi.
“Yalah, yalah,” kata Am. Akhirnya Am mengalah. Erina dan Am berjalan masuk ke dalam perpustakaan. Pintu perpustakaan dibuka. Erina memandang sekitar. Matanya melilau mencari seseorang. Di satu sudut seorang gadis sedang menulis. Sesaat, gadis itu berhenti menulis. Tangannya mula mengatur rambut. Erina tersenyum lebar. Erina memandang Am. “Jom, Am! Kita jumpa dia,” kata Erina. Dia menarik tangan Am. “Erina, aku..” perasaan malu tiba-tiba hadir dalam diri Am. Dia berasa serba salah. Erina terus menarik tangan Am, dan mereka berjalan menuju ke arah gadis itu.
Kristina... Fragmen 8
Gadis itu mengatur rambutnya. Tak lama, dia merasakan ada derap tapak kaki menuju ke arahnya. Agak laju dan buru-buru. Gadis itu mendongakkan kepala. Dia terpandang Erina dan Am. Kelihatan, Erina memegang tangan Am. Tersedar, Erina melepaskan pegangan. Erina memandang wajah gadis itu. “Jasmine, ni aku bawa Am. Dia kata nak jumpa kau,”kata Erina. Erina memandang wajah Am. Dia mencubit lengan lelaki itu. Am terpinga-pinga dengan kata-kata Erina. “Err..tak...” belum sempat Am menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Erina menyentuhnya. Kali ini ditepuk di belakang pula. Agak kuat sehingga Am hampir tertolak ke arah Jasmine. Tepukan yang kuat itu menarik perhatian orang di sekitar. Mereka berpaling ke arah Erina, Am dan Jasmine. Erina tersedar dengan perlakuannya. Dia segera menunduk dan meminta maaf. Erina memandang wajah Jasmine. Dia tersengih. Am semakin kurang selesa. Dia seperti ingin pergi dari situ. Tetapi, belum sempat dia berbuat demikian, kakinya telah dipijak oleh Erina. “Oh, Tuhan,”bisik Am sendirian. Bisikan Am itu menarik perhatian Jasmine. Dia memandang wajah lelaki itu. Jasmine tersenyum. “Duduklah,” pelawa Jasmine lembut. “Am, duduklah. Orang dah pelawa tu!” kata Erina kepada Am. Erina menyuruh Am duduk dekat dengan Jasmine. Dengan perlahan, Am duduk di kerusi. Am menyangka Erina akan duduk bersama dengan mereka. Namun, jangkaan Am meleset. Sebaliknya, Erina cepat-cepat beredar dari situ. Am menjadi kaku seketika. Sebelum pergi, Erina sempat melambai ke arah Am dan Jasmine. Erina membuat isyarat semoga berjaya kepada Am. Jasmine tersenyum lagi. Dia akhirnya ketawa kecil kerana tidak tahan melihat telatah Erina. Am memberanikan diri memandang wajah Jasmine. Jasmine, dengan rambut separas bahu. Wajah yang putih dan dagu yang belah. Sungguh cantik! Kata Am di dalam hati. Am rasa terpukau melihat kecantikan Jasmine. Tak lama, Jasmine memalingkan mukanya. Dia memandang wajah Am. Sesaat, mereka berbalas renungan. Jasmine tersenyum. Am tersipu malu. “Kenapa awak nak jumpa saya?” tanya Jasmine. Am rasa serba salah. Dia tidak tahu apa yang ingin diberitahu. Semua ini kerja Erina. “Huh...” Am mengeluh perlahan. Jasmine terdengar keluhan Am. “Erin usik awak, ya?” tanya Jasmine. Dia seperti tahu bahawa Erina yang merencanakan segalanya. Am terdiam. Dia cuba mencari jawapan yang sesuai. “Err...sebenarnya saya, sebenarnya saya nak belajar menulis daripada awak. Ya, belajar menulis,” akhirnya jawapan itu keluar dari mulut Am. Jasmine tersentak. Jasmine terdiam seketika.“Boleh, tapi saya nak awak hasilkan sebuah sajak untuk saya,”kata Jasmine. Sajak? Seakan teruja, Am mengangguk dan tersenyum. Dan, Jasmine membalas senyuman itu...
Bersambung Fragmen 9. Nantikan sambungannya...Gambar : Google Images
Subscribe to:
Posts (Atom)