Thursday, March 27, 2014

Titis Gerimis (Fragmen 1 - 3)

Amanda Sweetheart

Titis Gerimis (Fragmen 1 – 3)

Titis Gerimis~ fragmen 1
Di luar masih hujan. Hujan,rintiknya membasah bumi. Sekilas, Mark memandang jam di pergelangan tangannya. Jarum jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Tiba-tiba, dia terasa ingin minum segelas kopi.Segelas kopi yang mampu menghangatkan tubuh. Mark menutup semula diarinya. Laci meja dibuka perlahan. Diari kemudiannya disimpan kemas.Laci meja ditutup semula.Mark bingkas dari kerusi lalu menuju ke arah pintu.Pintu dibuka perlahan, dan kemudian ditutup rapat.
Mark mendongak ke langit. Belum ada tanda-tanda hujan akan berhenti. Mark melihat seorang lelaki menyeberangi jalan. Dia melindungi kepalanya dengan tangan. Menahan rintik hujan yang menimpa kepalanya. Dia tidak membawa payung.Lelaki.Lelaki memang jarang membawa payung. Lelaki itu kemudiannya berlari mendapatkan seorang gadis di seberang jalan. Gadis itu tertawa melihat lelaki itu. Kemudian, dia mengeluarkan sehelai sapu tangan dan menyapu lembut wajah lelaki itu.Lelaki itu tersenyum dan mengajak gadis itu beredar dari situ. Mereka berdua berpegangan tangan.Agak lama Mark memerhatikan mereka berdua sehingga lelaki dan gadis itu masuk ke sebuah kedai cenderamata.

Titis Gerimis~ fragmen 2
Pelayan itu menuju ke arah Mark.Tangannya menatang segelas kopi. Dia kemudiannya meletakkan gelas itu di atas meja. “ Berapa?” tanya Mark. “RM 2.50,” balas pelayan itu. Mark mengeluarkan dompet dari saku seluarnya dan memberi RM 5.00 kepada pelayan itu. Pelayan itu pergi ke kaunter. Bercakap sekejap dengan rakannya. Tidak lama, pergi semula ke arah Mark dan menyerahkan baki wang. Mark mengambil baki wang itu dan memasukkannya semula ke dalam dompet. Mark menatang gelas kopi itu dan kemudian menghirupnya perlahan. Semacam satu kepuasan, dia menghirup kopi itu lagi. Hujan di luar sudah pun reda. Mark masih lagi di kedai kopi. Sengaja, dia ingin berada lebih lama di situ.Manusia perlu juga masa untuk berehat.Merehatkan minda yang kadang kala kusut. Sesekali, seronok juga bersendirian. Ada lebih ruang waktu untuk berfikir. Fikirannya menerawang seketika. Tidak lama, dia tersedar semula. Mark menghirup habis kopi di dalam gelas. Sudah sampai waktu untuk beredar dari situ.Fikirnya.

Titis Gerimis~ fragmen 3
Amanda masih lagi di Fragrance Florist. Jemarinya menyusun cermat bunga-bunga di rak. Antaranya Lili, Lavender, Ros, Tulip, Bunga Matahari, dan lain – lain lagi. Sekilas, Amanda memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul 5.00 petang. “Huh...” Amanda mengeluh perlahan. Tidak ramai yang datang ke kedai hari ini. Mungkin disebabkan hujan. Sedang Amanda bersiap untuk pulang, daun pintu kedainya diselak. Kelihatan seorang lelaki buru – buru masuk ke dalam kedai. Amanda berpaling. Dia memandang wajah lelaki itu. Rambut dan pakaian lelaki itu membasah disebabkan hujan. “ Dah nak tutup ke?” tanya lelaki itu. Amanda segera mengangguk. Dia agak terkejut dengan kehadiran lelaki itu. “Maaf sebab mengganggu. Saya nak beli ros merah. Sekuntum. Ada?” Lelaki itu menjelaskan kehadirannya. “Ya, ada. Pilihlah” sahut Amanda. Lelaki itu segera pergi ke rak bunga. Tangannya mencapai sekuntum ros merah. “Saya pilih ini,” lelaki itu menunjukkan ros merah itu kepada Amanda. “Berapa?” tanya lelaki itu lagi. “ RM10,” Amanda menjawab ringkas. Dia memandang wajah lelaki itu lagi. Dari riak wajahnya, seakan lelaki itu gelisah dan buru – buru. “Kenapa encik? Nampak gelisah saja?” Amanda memberanikan diri bertanya. “Awak tahu tak? Hari ini saya buat – buat lupa akan ulang tahun perkenalan saya dan kekasih saya. Ingatkan hendak buat gurauan. Tidak tahu pula dia betul –betul merajuk,” jelas lelaki itu. “ Oh, jadi encik beli bunga ni nak pujuklah,” kata Amanda. Lelaki itu tersengih sambil menggaru kepalanya. “Encik pasti berjaya memujuknya,” kata Amanda. “Harap – harap begitulah. Terima kasih, ya,” kata lelaki itu. “Sama –sama. Sila datang lagi,” kata Amanda lagi. “Ya, saya akan datang.” Lelaki itu pantas beredar dari kedai itu. Amanda memerhatikan lelaki itu lagi. Ragam orang bercinta, begitulah. Sesaat, Amanda teringat akan dirinya sendiri. “Huh...” dia mengeluh lagi.
Bersambung fragmen 4~Nantikan sambungannya

Gambar : Google Images


0 comments:

Post a Comment