Perahu Timun Iban~(Fragmen 1 – Fragmen 3)
Perahu Timun Iban~Fragmen 1
“Dia tetap menunggu meski esok bukan miliknya...”
Perahu Timun Iban. Cerita ini mengisahkan tentang seorang tua yang bernama Aki Suki. Aki Suki ada seorang cucu yang bernama Suki. Setelah ibunya Suri meninggal dunia, Suki dijaga oleh Aki Suki dan Ini Suki. Suri amat kecewa dan menderita dengan perbuatan Sempurai yang menggilai perempuan lain. Malam itu, Suri telah membunuh dirinya dengan meminum racun. Kematian Suri amat mengejutkan Sempurai. Dia berasa sungguh menyesal di atas perbuatannya. Sewaktu hari pengebumian Suri, Sempurai tidak henti-henti menangis dan meraung meratapi kematian isterinya. Dia memeluk mayat Suri. Namun, penderitaannya itu tidak setanding kesedihan yang dirasai oleh Aki Suki dan Ini Suki. Suri, itulah satu-satunya anak mereka. Sempurai mendapatkan Aki Suki untuk meminta ampun. Dia memegang erat kaki Aki Suki. Aki Suki tidak berkata apa-apa. Di dalam hatinya Tuhan sahaja yang tahu, betapa dia amat membenci lelaki itu. Namun, walau dibunuhnya Sempurai itu tidak dapat mengembalikan dan menghidupkan semula anaknya Suri. Ini Suki memukul-mukul Sempurai sambil menangis. Dia meminta Sempurai menghidupkan semula anaknya Suri. Sempurai terus memegang erat kaki Aki Suki. Penduduk kampung memerhatikan suasana itu dengan hati yang pilu.
Selepas kematian Suri, Sempurai menjadi tidak tentu arah. Sekejap ketawa. Sekejap menangis. Dan sering bercakap seorang diri. Apai Kelabu, tuai rumah meminta Aki Suki membawa Sempurai berubat dengan Aki Kilat, seorang manang. Apai Kelabu merasakan bahawa Sempurai benar-benar menyesal di atas perbuatannya. Aki Suki akhirnya bersetuju dengan cadangan Apai Kelabu sementara Ini Suki berkata kenapa tidak dibiarkan sahaja Sempurai itu menjadi gila kerana ianya adalah balasan Tuhan kepadanya. Aki Suki memberitahu Ini Suki bahawa dia sudah mula memaafkan Sempurai. Tambah Aki Suki lagi, kalau mereka bertindak kejam terhadap Sempurai samalah seperti Sempurai yang bertindak kejam terhadap anak mereka Suri. Sempurai sudah pun menerima balasannya, kata Aki Suki lagi. Tidak lama selepas itu, Sempurai pun beransur sembuh. Setelah sembuh sepenuhnya, Sempurai menyatakan hasratnya untuk mencari semula pekerjaan yang baru setelah dahulu dia dibuang kerana lama tidak bekerja. Kali ini dia akan merantau jauh. Sempurai meminta Aki Suki dan Ini Suki menjaga Suki. Ini kerana biarlah keduanya menjaga Suki.Fikirnya itu dapat mengubat hati Aki Suki dan Ini Suki yang sudah kematian Suri. Saat Sempurai ingin pergi, dia memeluk erat Suki. Suki yang masih kecil itu terpinga-pinga, namun menangis kemudiannya. Sempurai sebak. Aki Suki memegang bahu Sempurai. Dia memberitahu Sempurai bahawa dia akan menjaga Suki dengan sebaiknya. Sempurai berjalan perlahan meninggalkan Suki, Aki Suki dan Ini Suki. Setelah agak jauh, Sempurai berpaling dan melambai tangannya. Suki, suatu hari nanti ayah akan pulang. Ampuni aku Suri...
Bersambung di Fragmen 2~
Perahu Timun Iban~ Fragmen 2
“Dia tetap menunggu meski esok bukan miliknya...”
Aki Suki memotong setengah timun iban. Kemudian, isinya dikeluarkan. Diletakkannya di dalam mangkuk. Garam ditabur dan digaulkan bersama timun iban. Suki memerhati. Dia seperti tidak sabar. Aki Suki tersenyum. Aki Suki tahu Suki begitu suka makan timun iban dicampur garam. Sebab itu, awal-awal lagi dia turun ke kebun untuk mencari timun iban. Apa yang Suki tunggu-tunggu sebenarnya ialah perahu timun iban. Setelah timun iban dipotong setengah dan isinya dikeluarkan, kulit yang tinggal akan membentuk seperti perahu. Dan perahu timun iban itu Suki hanyutkan di sungai kecil yang terletak tidak berjauhan dari kebun. Aki Suki memberi perahu timun iban kepada Suki. Suki ketawa riang. “Hati-hati, jangan main jauh sangat” Aki Suki mengingatkan Suki. Aki Suki memerhati Suki yang berlari riang menuju sungai kecil. “Biar saya tengok-tengokkan dia, “ kata Ini Suki. Ini Suki turun dari langkau dan mengikut Suki dari belakang. Ini Suki memanggil-manggil nama Suki. Suki menoleh ke bekakang. “Mari Ini, kita main perahu,” Suki mengajak neneknya. Aki Suki tersenyum lagi. Sudah besar Suki, fikirnya. Dahulu, sewaktu ditinggalkan oleh ayahnya, Suki baru berusia setahun. Kini, Suki sudah pun berusia lima tahun lebih. Sesaat, Aki Suki teringat kepada Sempurai. Sudah lama Sempurai tidak balik ke kampung dan melawat Suki. Walaupun begitu, Sempurai tidak pernah gagal memberikan wang belanja. Dahulu, sewaktu baru mendapat kerja semula, Sempurai sering balik ke kampung. Banyak buah tangan yang dia bawa. Sempurai belikan Suki baju baru. Tidak lupa juga untuknya dan Ini Suki. Untuknya, Sempurai belikan kemeja lengan panjang. Untuk Ini Suki, Sempurai belikan kain sarung. Suki suka benar pakai baju yang dibelikan oleh Sempurai. Terkadang, masih basah-basah pun Suki minta neneknya mengangkat baju itu di jemuran. Aki Suki pernah bertanyakan apa kerja Sempurai. Sempurai memberitahu dia bekerja sebagai pemandu lori. Sempurai memberitahu lagi bahawa tauke tempatnya bekerja sangat baik orangnya. Aki Suki menasihati Sempurai supaya kerja baik-baik dan ikut cakap tauke. Sempurai mengangguk dan menyatakan bahawa dia akan bekerja bersungguh-sungguh untuk Suki. Dalam diam, Aki Suki tersentuh hati melihat Sempurai. Sempurai bekerja siang dan malam untuk menyara Suki. Setelah kematian isterinya, hidup Sempurai masih belum terurus sepenuhnya. Suatu hari, dia menyuarakan hasratnya kepada Sempurai agar lelaki itu mencari pengganti kepada isterinya yang sudah tiada. Sempurai diam dan tidak menjawab. Seperti dia tidak menyenangi apa yang Aki Suki hasratkan. Adakah itu punca Sempurai jarang balik ke kampung lagi?
Aki Suki tersedar dari lamunannya apabila dikejutkan oleh Suki yang berlari-lari ke arahnya. “Aki! Aki! Ada ikan di sungai tadi!” jerit Suki. Ini Suki hanya mengekori perlahan dari belakang. Tidak terdaya dia mengejar Suki. Suki mendapatkan Aki Suki. Aki Suki mengusap lembut rambut Suki. Dia memeluk erat Suki dan mengucup pipi Suki. Tidak lama, matanya bergenang. Aki Suki cuba untuk menyeka air matanya namun ia gugur juga. Suki melihat datuknya dengan hati yang hairan. “Kenapa Aki menangis?” tanya Suki. “Tiada apa-apa, Suki,” Aki Suki menyapu wajahnya dengan lengan baju. Sempurai, pulanglah. Getus hatinya.
Bersambung di Fragmen 3. Nantikan sambungannya...
Perahu Timun Iban~ Fragmen 3
“Dia tetap menunggu meski esok bukan miliknya...
Anyau memasukkan kotak berisi barang makanan ke dalam lori. Jawa menyambut kotak itu, menyusunnya cermat satu – persatu. Sesaat, Jawa mendongak ke atas. Terik mentari memancar wajahnya. Jawa berhenti menyusun kotak itu seketika. Dia mengesat peluh dengan menggunakan lengan baju. “Huh...” Jawa mengeluh perlahan. Perlakuan Jawa menarik perhatian Anyau. “Letih ke?” tanya Anyau sambil tersenyum. “ Mestilah. Sudahlah panas, Anyau. Rasa kena bakar,” Jawa menjawab dengan nada merungut. “Ha, itulah. Kita dahulu tak nak sekolah betul-betul. Akhirnya, dapat kerja macam ni. Tahan sahajalah Jawa,” kata Anyau. “ Betul tu, Anyau. Tapi nak diingat balik pun tak guna. Masa bukannya boleh diputar,” balas Jawa dengan nada menyesal. Anyau memandang wajah Jawa. Dia sangat mengerti perasaan Jawa. Bukan sehari dua dia mengenali Jawa. Sejak dari kecil mereka sudah berkawan. Anyau ingat lagi bagaimana dia dan Jawa tidak pergi ke sekolah hari itu. Sebaliknya, mereka pergi ke sungai di hujung kampung untuk memancing ikan dan udang. Sampai ke petang mereka di sana. Agak banyak juga tangkapan yang mereka peroleh hari itu. Setelah penat memancing, mereka mandi pula kemudiannya. Ketika mereka sedang leka mandi, tidak sedar pula kehadiran ibu Anyau. Jeritan ibu Anyau menyedarkan mereka berdua. Anyau dan Jawa begitu terkejut melihat ibu Anyau. Ibu Anyau siap membawa sebatang kayu yang dipegang kemas. “Oh, ini kerja kamu ya, Anyau! Ingatkan ke sekolah, rupa-rupanya di sini!” Anyau berasa sungguh takut melihat ibunya yang memegang sebatang kayu. Jawa berenang ke tepi. Dia ingin lari dari situ. “Hei, Jawa! Ke mana kamu mahu lari? Sini kamu! Jangan lari!” ibu Anyau memanggil Jawa. Jawa memandang Anyau. Anyau masih lagi di air. Dia tidak mahu naik ke darat. “Apa kamu buat lagi di situ, Anyau!? Naik!” kata ibu Anyau lagi. Semakin tinggi suaranya. “Tak mahu. Nanti mak pukul,” Anyau menjawab dengan suara yang ketar. “Pukul tak pukul! Tak naik, lagi teruk kamu mak kerjakan! Naik, Anyau!” ibu Anyau mengetapkan giginya. Seperti dia cuba untuk menahan kemarahannya. Akhirnya, dengan perlahan Anyau dan Jawa naik ke darat. Sebaik sahaja naik ke darat, Anyau dipukul teruk oleh ibunya. Jawa pula dipulas telinga oleh ibu Anyau kerana dia mengaku bahawa dia yang mengajak Anyau memancing di sungai. Jawa tidak melawan, kerana dia tahu dia yang bersalah. Lagipun, dia amat menghormati ibu Anyau. Ibu Anyau ialah kawan baik kepada mendiang ibu Jawa. Setelah ibu Jawa meninggal dunia dan ayahnya berkahwin semula, Jawa dijaga oleh neneknya. Ibu Anyau menganggap Jawa seperti anaknya sendiri kerana sebelum ibu Jawa meninggal dunia, dia pernah berpesan kepada ibu Anyau supaya sentiasa memerhatikan Jawa. Anyau menangis teresak – esak. Jawa bersimpati dengan Anyau. Dia rasa sungguh menyesal kerana mengajak Anyau ponteng sekolah hari itu. Pulang ke rumah, giliran Jawa pula dimarahi oleh neneknya. Nasib baiklah neneknya tidak larat untuk memukul. Kalau tidak, pasti berbekas betis Jawa. Keesokan harinya, ibu Anyau membawa Anyau dan Jawa berjumpa dengan guru kelas mereka, Cikgu Jelai. Ibu Anyau menjelaskan semuanya. Dahi Cikgu Jelai berkerut. Dia memandang wajah Anyau dan Jawa. Anyau dan Jawa menunduk. Tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Jelai. “Anyau, Jawa. Nanti cikgu bawa kamu berdua berjumpa dengan Cikgu Seli,” kata Cikgu Jelai. Anyau dan Jawa hanya mendiamkan diri. Cikgu Seli, iaitu PKHEM ialah seorang guru yang tegas dengan murid-muridnya. Walaupun begitu, dia ialah seorang guru yang baik. Cikgu Seli menasihati Anyau dan Jawa. “Jawa, ibu kamu sudah tiada. Ayah pun sudah berkahwin lain. Patutnya kamu fikir tentang diri sendiri. Fikir tentang masa depan kamu,” kata Cikgu Seli kepada Jawa. Hati Jawa tersentuh dengan kata – kata Cikgu Seli. Air matanya mula menitis kerana Cikgu Seli menyebut mengenai mendiang ibunya serta ayahnya yang sudah berkahwin lain, yang seperti sudah melupakannya. Itu cerita sewaktu di sekolah rendah. Sewaktu di sekolah menengah, entah di mana silapnya Anyau dan Jawa semakin tidak berminat untuk belajar. Nampaknya, nasihat Cikgu Seli sampai di situ sahaja. Mereka kembali ponteng sekolah dan pergi merayau – rayau. Sehinggalah Anyau dan Jawa terlibat dalam satu pergaduhan dengan pelajar dari sekolah lain. Semuanya berlaku kerana salah faham. Anyau dan Jawa pengsan dikerjakan oleh pelajar terbabit. Mereka berdua dikejarkan ke hospital oleh seorang awam yang prihatin. “Lama menung. Fikirkan tentang apa?” Tiba – tiba satu suara mengejutkan lamunan Anyau. Anyau berpaling. Dia melihat satu susuk tubuh di hadapannya. Tinggi dan agak kurus. “ Ha, pergi mana tadi?” Jawa bertanya kepada lelaki itu. “Jumpa tauke. Sudah habis masuk barang? Kita nak cepat ni,” kata lelaki itu. “Sikit lagi,” kata Anyau. Tidak lama, seorang gadis menyebut nama lelaki itu dari jauh, “Sempurai, hati – hati bawa lori!” gadis itu mengingatkan Sempurai. “Aik? Jumpa tauke kah anak tauke ni?” usik Jawa. Wajah gadis itu merona merah. Anyau tertawa. Gadis itu memandang wajah Sempurai. Sempurai memandang wajah gadis itu. Gadis itu tersenyum, dan cuba memaknakan renungan. Sempurai membalas senyuman, dan kemudiannya menunduk perlahan.
Bersambung di Fragmen 4. Nantikan sambungannya...
0 comments:
Post a Comment