Friday, March 28, 2014

Manusia (Dalam Lingkungan Kesedarannya)

Manusia

Manusia 
( Dalam Lingkungan Kesedarannya)

Manusia,
Dalam lingkungan kesedarannya,
Terkadang lupa saat derita,
Tatkala senyum seikhlasnya,
Menguntum rela di bibir.

Manusia,
Dalam lingkungan kesedarannya,
Terkadang lupa saat bahagia,
Tatkala ketar jemarinya,
Menahan hati yang rawan.

Manusia,
Dalam lingkungan kesedarannya, 
Walau tidak mampu menahan waktu,
Walau tidak mampu memutar sejarah,
Tetap mendansakan penanya,
Dan sedaya mencantum kembali,
Retak fragmen kehidupan,
Demi memahat memori terindah,
Dalam diari sejujur peribadi.

Manusia,
Dalam lingkungan kesedarannya,
Terkadang lena dalam jaga.
Kau?

Am Nass, 28.3.2014




Gambar : Google Images

Thursday, March 27, 2014

Biri - Biri Mimpi

Biri -Biri Mimpi

Biri-Biri Mimpi
Antara tidur dan jaga,
Sedayaku memejamkan mata,
Kerna malam ini,
Harusnya sarat dengan mimpi,
Jiwa yang berilusi,
Mengira sang biri –biri,
Melompat pagar hati,
Yang terkesan oleh rasa,
Dalam kantuk menanti lena.

Kasih hadirlah,
Dalam lena yang sejenak,
Walau rindu sudah menjauh,
Dan bulan tidak lagi bersinar,
Bintang pula berguguran jatuh,
Hanya dingin menggigit tubuh,
Menemani malam yang panjang.

Sesungguhnya,
Aku tidak berdaya menangis lagi,
Kerna kolam mataku sudah lama kering,
 Dan sesungguhnya juga,
Aku tidak mampu mengharap lagi,
Kerna doaku sudah pun habis.

Tidak mengapa,
Pergilah, aku merelakannya,
Walau degup jantung ini,
Akan terhenti buat selamanya,
Sehabis kuhitung  biri – biri mimpi.

Biri – biri mimpi,
Kau tidak melompat lagi?

Am Nass, 19.12.2013



 Gambar : Google Images



,









Simfoni Dari Kejauhan (Cinta Kita?)

Simfoni Dari Kejauhan

Simfoni Dari Kejauhan
(Cinta Kita?)

Aku pernah tiba,
Di suatu daerah sepi,
Jauh di dasar hati,
Berdiriku di titian waktu,
Menanti angin rindu,
Membawa pesan kalbu,
Dan,
Akulah jua menggumam rasa,
Dalam jiwa letih meronta,
Saat bibir terkunci rapat,
Khabar tidak seindah rasa,
Deminya aku terpaksa,
Menyusun semula fragmen kenangan,
Mencantum retak mimpi semalam.

Akulah pelukis deritalara,
Sedayanya aku cuba mewarna,
Mencorak kasih di kanvas putih,
Mendengar cerita dari penyair,
Dan juga pengetuk arca,
Tentang sepasang kekasih,
Mematerikan cinta sehening malam,
Dalam simbah cahaya rembulan.

Kau dan aku,
Kisah kita berbeda,
Tidak seperti musim semi,
Saat cinta berbunga harum,
Kau dan aku,
Seperti saling membelakangi,
Dipisahkan oleh tembok egois.

Simfoni dari kejauhan,
Hanya itu yang mampu kualun,
Kerna cinta kita,
Jauh tiada taranya,
Dekat tidak bersatu.
Selamanya?

Am Nass, 4.12.2013.


Gambar : Google Images


Cinta Adalah (Cintaku Ibarat Nota Muzik)

Cinta Adalah

Cinta Adalah...
(Cintaku Ibarat Nota Muzik)

Aku masih teringat,
Di kala senja itu,
Saat mentari melabuhkan tirai,
Deburan ombak
Sekawan camar pulang petang,
Dan angin memesrai lembut,
Wajahmu yang ayu,
Sedang kau mengatur hujung rambut,
Sempat kau melirik manja kepadaku,
Menghadiahkan senyuman paling manis,
Hatiku tersentuh dan teruntun,
Dan kau tertawa kemudiannya,
Menampakkan baris gigi yang tersusun rapat,
Dan lesung pipimu terserlah,
Dan aku, dalam segan,
Membalas tawamu itu,
Sejenak kita berpandangan,
Dan saling memaknakan renungan.

Aku masih teringat,
Di kala petang itu,
Duduk- duduk kau dan aku,
Di atas hamparan rumput menghijau,
Aku memetik gitar, menyanyikan lagu,
Dan kau menutup matamu,
Menghayati “My Magical Journey”,
Yang liriknya dikarang olehmu,
Dan melodinya disusun olehku,
Dan sejenak aku,
Cuba menggambarkan fikiranmu,
Apakah getar yang aku rasakan itu,
Senadakah ia dengan jiwamu?
Sesaat itu kau membuka matamu,
Memandangku dengan rela,
Dan kau akhirnya tertunduk malu,
Lalu aku menghentikan petikan gitar,
Oh, Tuhan! Adakah gadis ini mencintaiku?

Aku masih teringat,
Semua kenangan itu,
Walau kini kita berjauhan,
Dan tiada lagi pesan,
Namun gitar tetap kupetik,
Dan lagu tetap kunyanyikan,
Jadilah ia satu simfoni,
Simfoni dari kejauhan,
Kerana cintaku untukmu,
Adalah ibarat nota muzik.

Dan, aku pasti,
Suatu hari nanti,
Kita akan menghiasi semula laman,
Yang telah lama kita tinggalkan,
Dan, kau...
Akan kembali, bukan?

Am Nass, 7.12.2013



Gambar : Google Images

Sakura Hanami (Cinta Musim Semi)

Sakura Hanami

Sakura Hanami
(Cinta Musim Semi)

Gadis berkimono bersimpuh tertib,
Jemari halusnya membancuh teh hijau,
Gunung Fuji memutih,
Sakura ditiup angin,
Berguguran jatuh,
Ke dalam cawan kecil berisi sake.

Seorang anak kecil,
Berlari riang dan tertawa,
Di rumput menghijau ditemani ayahnya,
Seorang gadis menulis diari,
Dipayungi pohon meredup.

Aku masih ingat lagi,
Saat terindah itu,
Ketika aku duduk di hamparan tikar,
Kau dengan baju merah jambu,
Cuba mengusik dengan menarik rambutku,
Dan kemudian kau berlari-lari,
Menyembunyikan dirimu,
Di sebalik pohon sakura yang mekar,
Hatiku teruntun,
Dengan senyuman paling manis,
Yang kau lemparkan lewat angin.

Sayonara kasihku,
Kau membisik lembut di kupingku,
Pada suatu petang itu,
Adakah ia suatu ucapan selamat tinggal?
Dan kau dalam genang mata berkaca,
Mengangguk perlahan dan tertunduk,
Aku cuba menyeka mutiara,
Yang gugur di kelopak,
Akhirnya aku tahu,
Waktunya sudah tiba,
Untuk kau pergi meninggalkanku.

Sakura Hanami,
Cinta musim semi,
Segalanya tinggal memori,
Namun aku tetap menunggu,
Sakura kembali berbunga,
Kerana kau,
Akan kembali, bukan?
Dan aku tetap berharap,
Kita akan kembali menghias laman,
Yang telah lama kita tinggalkan.

Am Nass. 9.12.2013.






Zaman - Zaman Keriangan (Warna Sari Kehidupan)

Zaman - Zaman Keriangan

Zaman-Zaman Keriangan
(Warna Sari Kehidupan)

Tanah lapang di belakang rumah
Pernah jadi arena rakan sepermainan
Bermain guli dan tikam selipar
Diseri tempik sorak, derai tawa
Sesekali menangis guli pecah
Lebihnya suka orang lain kalah
Zaman yang penuh keriangan
Suatu waktu anak-anak hingusan.

Petang-petang begini
Siap sudah ketul-ketul batu
Kayu bercabang terselit kemas
Antara seluar getah dan punggung berisi
Tempatnya di hutan tebal menjejak
Jauh tidak dari tanah lapang
Jenis apakah bertuah ini kali?
Zaman yang penuh keriangan
Suatu waktu hendak akil baligh.

Di bangku kayu di bawah pohon sena
Duduk-duduk merpati dua sejoli
Beg, buku-buku dan alat tulis tumpang sekaki
Tunggu dulu nanti ulang kaji 
Kerana ini masa untuk bermadah
Ini masa untuk pantun seloka
Zaman yang penuh keriangan
Suatu waktu sudah masuk remaja.

Sabtu pagi yang tenang dan damai
Hari terindah alam dewasa
Mengekal bahagia menguji hati
Tika saat-saat mendatang
Perasaan tiada terbayangkan
Bila mendengar tangisan pertama 
Kini sudah bergelar ayah
Kini sudah bergelar ibu
Zaman yang penuh keriangan
Suatu waktu sudah berumahtangga.

Zaman-zaman keriangan
Yang tetap diingati sememangnya
Mengajar erti masa kerinduan
Di kala sepi begini; permata hati di perantauan
Saat diri dimamah usia
Mampukah diulang lagi?

Zaman-zaman keriangan
Warna sari kehidupan
Hadirnya hanya sekali.

Am Nass, 28.3.2014




Gambar : Google Images

Titis Gerimis:Pernahkah Kau Melihat Hujan? (Have You Ever Seen the Rain?)

Titis Gerimis

Titis Gerimis
(Pernahkah Kau Melihat Hujan?)
(Have You Ever Seen the Rain)

Titis gerimis,
Pernahkah kau melihat hujan?
Saat gugurnya membasah bumi,
Mutiaranya menumpang di daun,
Jernih ; seasli dirinya,
Malu dan terketar melihat mentari,
yang bersinar lembut.
Perlahan menghilang, dan awan kembali tersenyum.
Mewarna pelangi...

Titis gerimis,
Pernahkah kau melihat hujan?
Saat gugurnya membasah bumi,
Mutiaranya jatuh di telapak tangan,
Sejuk dan hangat kemudiannya,
            digenggam perlahan.
Dingin udara mendamaikan,
Seorang anak kecil yang menanti
ayahnya pulang.

Titis gerimis,
Pernahkah kau melihat hujan?
Saat gugurnya membasah bumi,
Mutiaranya jatuh menimpa rambut,
Perlahan diusap dan mendongak,
Rintiknya jatuh ke muka,
Dibiarkan sahaja ; rasa ingin
melepaskan semuanya.
Beban dan tekanan...

Maaf teman,
Kerana selama ini tidak pernah
cuba untuk memahami,
Tidak pernah cuba untuk mengerti,
Akan rendahnya hati,
Dan akhirnya aku tersedar,
Hatiku menangis,
Sesudah gerimis.

Am Nass, 28.3.2014



Gambar : Google Images

Lelaki Ini (Fragmen 1 - 2)


Lelaki Ini~Fragmen 1 – Fragmen 2 

Lelaki Ini...~Fragmen 1
William ialah seorang pemuda yang berwajah biasa dan berpewatakan sederhana. Kalau dilihat secara luaran, terutama bagi mereka yang tidak mengenalinya akan memikirkan yang William seorang lelaki yang amat serius.Namun, hakikatnya tidak begitu. Dia seorang yang suka bergurau.Tetapi,tidaklah sepanjang masa. Ada masanya dia akan terasa dan terganggu seperti orang lain apabila ada perkara yang tidak menyenangkannya. Sewaktu di sekolah menengah, William tidak terlalu menonjol sifatnya terutama dari segi perlakuan dan tingkahlaku. Sedia faham, waktu itulah pelbagai perkara menarik akan berlaku dalam diri seseorang. Salah satunya, yang melibatkan hati dan perasaan. Belajar mengenal erti cinta dan memendam rasa. Kalau disuruh menghuraikan apa erti kasih sayang, pasti semua dapat menulisnya berjela.Tetapi bagi William, zaman persekolahan bukan masanya untuk mengejar cinta, kerana waktu itu kita masih ditanggung oleh ibu bapa. Fikirnya, kalau hendak membelanja gadis pun terpaksa menggunakan wang saku yang bukan dari keringat sendiri.Oleh itu, dia tidak mahu memikat sesiapa waktu itu. Masa pun berlalu, dan William melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti tempatan. Semasa menuntut di universiti, dia mula meluaskan pergaulannya.Namun, hatinya masih belum terbuka untuk bercinta kerana dia ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Setelah tiga tahun, dia menamatkan pelajarannya dan mendapat pekerjaan.Sebagai seorang yang sudah bekerjaya, William memikirkan bahawa sudah sampai masa untuknya membalas jasa kedua ibu bapanya.Masa pun berlalu.Tiga tahun selepas itu, hatinya terbuka untuk mengenali seseorang.Fikirnya, inilah masa terbaik untuk menjalin hubungan dan membina ikatan.Iyalah, kalau hendak membelanja gadis keluar makan dan membeli hadiah harijadi pastinya menggunakan wang sendiri.Dan, selama tempoh tiga tahun itu dia sudah mengumpul sejumlah wang yang mencukupi untuk berkahwin. William telah berkenalan dengan seorang gadis. Perhubungan mereka berlangsung baik.Tidak lama, gadis itu mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran.Kali ini, mereka terpaksa berjauhan.Setahun selepas itu, Janice, iaitu seorang pekerja baru mula melapor diri di tempat William bertugas. Pernah satu ketika, William mengusik kawannya Brandon bahawa gadis itu sering memerhatikannya.Namun, Brandon menyatakan sebaliknya. Entah bagaimana, secara tidak sengaja (?) William mendekati Janice. Janice memberi maklum balas yang positif.Mereka mula menjalinkan hubungan.Sampai masa, William merasakan dia tidak berlaku adil kepada Celine.Akhirnya, William memberitahu perkara sebenar kepada Celine.Dia meminta maaf di atas apa yang telah dia lakukan.Alasannya, hubungan jarak jauh amat mencabar, dan hubungan itu baru sahaja terjalin. William berkeputusan untuk melepaskan Celine.Dia merasakan bahawa Celine akan berjumpa seseorang yang lebih baik daripadanya di sana.Celine amat kecewa dengan pengakuan William.Dia tidak menyangka William akan bertindak begitu.Celine menyatakan tiada seorang yang lebih baik daripada William.Baginya, William ialah udara yang dihirupnya setiap hari.Ertinya William ialah nyawanya.Tiada William, tiadalah Celine. Kata-kata Celine membuatkan William tersentak.Dia seperti disedarkan oleh sesuatu.Seperti satu suara berbisik,”William, jangan kecewakan gadis ini.Dia amat menyintaimu.”Akhirnya, setelah berfikir panjang, William membuat keputusan untuk mengekalkan hubungannya dengan Celine.William memberitahu Janice perkara sebenar bahawa dia sudah mempunyai kekasih dan ingin memutuskan hubungannya dengan Janice.Janice kecewa dengan pengakuan William namun tidak pula membenci William.Cuma, dia berharap William sudi keluar bersiar-siar dan makan bersama dengannya untuk kali terakhir sebagai pasangan kekasih.William memenuhi permintaan Janice.Sepanjang perjalanan pulang, Janice menyandarkan kepalanya di bahu William, dan William memandu kereta milik Janice dengan perlahan.Saat William ingin keluar dari perut kereta, Janice membuat permintaan.Dia ingin memeluk dan mengucup lelaki itu buat kali terakhir.William membenarkan.Beberapa hari kemudian, Janice memberi sepucuk surat kepada William.William membaca surat itu.Isi surat itu adalah luahan hati Janice.William berkongsi perkara itu dengan Brandon.Brandon menjelaskan kepada William bahawa Janice benar-benar menyintainya.William menyedari perkara itu.Bahkan, dia pun merasakan bahawa Janice amat hampir di hatinya berbanding Celine.Tentunya begitu, kerana dia bersama dengan Janice hampir setiap hari.Di tempat kerja, dan pada hujung minggu.Celine pula jauh di matanya.Tidak lama, Brandon mendekati Janice dan cuba mengubat hatinya.Janice tersentuh dengan kebaikan Brandon.Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.William cuba mengembalikan kepercayaan Celine kepadanya.Memang susah untuk mengembalikan kepercayaan seseorang.Dan, William mengambil masa empat tahun untuk itu.Kemudian, seorang lagi pekerja baru melapor diri di tempat William bertugas.Namanya Abigail.Dan, apa yang berlaku dahulu, berulang kembali.William tertarik dengan Abigail...(Bersambung fragmen 2)


Lelaki Ini...~Fragmen 2
Abigail. Gadis yang peramah dan baik dengan semua orang. Tahun pertama dia bekerja, Abigail bertanyakan info mengenai pekerja di situ, termasuk info William. William menyedari akan kehadiran pekerja baru itu tetapi berbuat seperti biasa. Masa pun berlalu.Tahun kedua Abigail bekerja di situ, William banyak mendengar cerita buruk mengenai Abigail. Biasalah, politik tempat kerja. Merendah-rendahkan potensi seseorang.Berbual tentang kekurangan dan kelemahan. Entah mengapa, William merasa kurang senang mendengar cerita sebegitu. William membuat keputusan untuk memberitahu Abigail. Abigail terkejut dengan apa yang William katakan kepadanya. Dia tidak menyangka selama ini dia menjadi bahan perbualan semua orang. Dan, apa yang menyedihkan tiada siapa yang memberitahunya selama ini kecuali William. Pada suatu malam, Abigail menghantar mesej pesanan ringkas kepada William. Dia meluahkan perasaan sedih dan kecewanya mengenai info yang diberitahu oleh William kepadanya. Malam itu, William melayan segala luahan Abigail. Semenjak dari itu, mereka berdua agak selalu bermesej dan bercerita mengenai perkara berkaitan tempat kerja. Pernah, William meluahkan masalah mengenai kerjanya kepada Abigail. Keluhan dan tidak puas hati. Saat itu, Abigail menjelaskan itulah perasaannya ketika William memberitahunya akan perkara yang menyentuh mengenai dirinya dahulu. Namun, ianya lebih mengguris dan menyakitkan. Dan, William amat terkejut mendengar penjelasan Abigail seterusnya. “ William, saat saya menghantar mesej pesanan ringkas kepada awak malam itu, dan saat saya meluahkan segalanya, air mata saya menitis.Dan, saya menangis semalaman...” (Bersambung fragmen 3)



Aishar Atsemes (Fragmen 1 - 2)


Aishar Atsemes~(Fragmen 1 – Fragmen 2)

Aishar Atsemes~ Fragmen 1
Socram Gnapel, Maharba Gnareyn, dan Ynnor Iaregetnom ialah tiga orang adik-beradik yang berasal daripada sebuah keluarga petani yang miskin. Pada suatu hari, seorang pengembara bernama Uannum Namron telah ditemui pengsan di hadapan pondok rumah mereka akibat dahaga dan kepenatan.Dia telah dirawat oleh ayah mereka.Setelah sembuh,Uannum Namron membalas jasa dengan membantu mereka bertani.Socram, Maharba, dan Ynnor amat suka bergaul dengan Uannum Namron dan begitu juga dengan Uannum Namron. Dia amat menyenangi keluarga itu.Sampai masa, Uannum Namron menyatakan hasrat untuk menyambung pengembaraannya. Malam itu, ayah mereka telah bermimpi didatangi oleh seorang lelaki tua.Lelaki tua itu berkata bahawa ketiga-tiga anaknya perlu mengikut Uannum Namron mengembara.Lelaki tua itu memberitahu lagi yang Uannum Namron bukan seorang pengembara biasa tetapi dialah yang akan membuka takdir ketiga-tiga anaknya.Mimpi itu amat mengejutkan ayah mereka dan menceritakan mimpi itu kepada ibu mereka. Ayah mereka berhasrat untuk memberitahu Uannum Namron akan perkara itu, tetapi dihalang oleh ibu mereka dengan alasan Uannum Namron tidak akan bersetuju untuk membawa ketiga-tiga anak mereka bersamanya.Ibu mereka berkata hanya ada satu jalan sahaja, iaitu kedua-dua mereka lari meninggalkan ketiga-tiga anak mereka secara senyap.Ayah mereka terkejut dengan kata-kata ibu mereka.Dia tidak menyangka ibu mereka sanggup berkata begitu.Namun, ibu mereka menjelaskan jika benar Uannum Namron akan membuka takdir ketiga-tiga anak mereka, maka keputusan itu perlu diambil walaupun amat berat.Dan, saat Uannum Namron dan ketiga-tiga anak itu sedang tidur, ayah dan ibu mereka meninggalkan tempat itu. Ibu mereka sempat mengucup dahi ketiga-tiga anaknya.Dia berasa amat sebak.Saat itu, air matanya mula menitis namun ditahannya untuk menangis kerana tidak mahu ketiga-tiga anaknya tersedar. Pagi itu, Uannum Namron bangun seperti biasa. Namun, dia sedikit hairan, kerana tidak dikejutkan oleh ayah mereka.Tiba-tiba, dia terdengar suara Socram dari dalam.Kemudian berbalas dengan suara Maharba.Tidak lama, dia terdengar Ynnor menangis.Uannum Namron semakin kehairanan sehingga Socram keluar mendapatkannya dan memberitahu kedua-dua ibu bapa mereka tiada di situ. Uannum Namron terdiam.Dia berdiri kaku.Seperti dia juga memahami sesuatu, sebenarnya. Hakikatnya, dia telah lama didatangi oleh seorang lelaki tua dalam mimpinya,iaitu akan ada tiga orang anak lelaki milik keluarga petani yang miskin akan diajari olehnya nanti.Namun, kebaikan keluarga itu menahan Uannum Namron tinggal lebih lama di situ. Itulah takdir Uannum Namron.Dan kini Uannum Namron akan membuka takdir ketiga-tiga anak itu. Bersambung Fragmen 2~


Aishar Atsemes~Fragmen 2
Uannum Namron ialah seorang pemuda yang berusia 24 tahun. Dia ialah anak kepada seorang tukang kayu yang bernama Semaj Hpesoj. Sejak dari kecil lagi Uannum Namron telah diajar oleh ayahnya seni pertukangan. Semaj Hpesoj berharap agar suatu hari nanti Uannum Namron boleh menggantikan tempatnya. Ketika berusia 10 tahun, ibunya Yma Yram telah diserang penyakit batuk kering. Semaj Hpesoj telah membawa seorang tabib iaitu Yak Gniy datang ke rumahnya untuk merawat isterinya. Yak Gniy memberitahu bahawa penyakit isterinya itu sukar untuk diubati melainkan dengan adanya air rebusan rukec. Rukec ialah sejenis tumbuhan herba yang amat jarang didapati melainkan hanya terdapat di hutan Aiag. Yak Gniy memberitahu lagi bahawa tiada siapa yang berani pergi ke hutan Aiag kerana hutan Aiag dijaga oleh seekor binatang buas yang dipanggil Sanag. Sanag dikatakan binatang buas yang boleh berkata-kata dan memperdaya manusia. Sebelum sesiapa boleh membawa pulang sesuatu dari hutan itu, Sanag akan meminta manusia menjawab teka-tekinya. Sekiranya gagal menjawab, Sanag akan membunuh mereka dengan kejam sekali. Jantung, hati, paru-paru, dan segala isi perut akan dikeluarkan oleh Sanag dan dilapahnya mentah-mentah. Kepala pula akan diikat dan digantung di atas pokok Gnapat. Semaj Hpesoj mendengar penjelasan Yak Gniy dalam ketar namun wajahnya masih tenang. Yak Gniy bertanya kepada Semaj Hpesoj adakah dia berani untuk pergi ke hutan Aiag untuk mendapatkan rukec.Semaj Hpesoj memberitahu sekiranya hanya air rebusan rukec yang dapat menyembuhkan isterinya, dia sanggup untuk pergi ke hutan Aiag. Yak Gniy tidak berkata apa lagi. Sebelum Yak Gniy meminta diri untuk pulang, dia berpesan kepada Semaj Hpesoj iaitu sekiranya Semaj Hpesoj berjaya mendapatkan rukec dia mesti segera pulang dan tidak boleh menoleh ke belakang. “Ingat, Semaj. Walau apapun yang awak dengar dan rasa, jangan sekali-kali menoleh ke belakang. Terus pulang sehingga awak selamat sampai di rumah.” Semaj Hpesoj memandang wajah Yak Gniy, kemudian dia mengangguk perlahan.
Nantikan sambungannya di Fragmen 3...

Titis Gerimis (Fragmen 1 - 3)

Amanda Sweetheart

Titis Gerimis (Fragmen 1 – 3)

Titis Gerimis~ fragmen 1
Di luar masih hujan. Hujan,rintiknya membasah bumi. Sekilas, Mark memandang jam di pergelangan tangannya. Jarum jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Tiba-tiba, dia terasa ingin minum segelas kopi.Segelas kopi yang mampu menghangatkan tubuh. Mark menutup semula diarinya. Laci meja dibuka perlahan. Diari kemudiannya disimpan kemas.Laci meja ditutup semula.Mark bingkas dari kerusi lalu menuju ke arah pintu.Pintu dibuka perlahan, dan kemudian ditutup rapat.
Mark mendongak ke langit. Belum ada tanda-tanda hujan akan berhenti. Mark melihat seorang lelaki menyeberangi jalan. Dia melindungi kepalanya dengan tangan. Menahan rintik hujan yang menimpa kepalanya. Dia tidak membawa payung.Lelaki.Lelaki memang jarang membawa payung. Lelaki itu kemudiannya berlari mendapatkan seorang gadis di seberang jalan. Gadis itu tertawa melihat lelaki itu. Kemudian, dia mengeluarkan sehelai sapu tangan dan menyapu lembut wajah lelaki itu.Lelaki itu tersenyum dan mengajak gadis itu beredar dari situ. Mereka berdua berpegangan tangan.Agak lama Mark memerhatikan mereka berdua sehingga lelaki dan gadis itu masuk ke sebuah kedai cenderamata.

Titis Gerimis~ fragmen 2
Pelayan itu menuju ke arah Mark.Tangannya menatang segelas kopi. Dia kemudiannya meletakkan gelas itu di atas meja. “ Berapa?” tanya Mark. “RM 2.50,” balas pelayan itu. Mark mengeluarkan dompet dari saku seluarnya dan memberi RM 5.00 kepada pelayan itu. Pelayan itu pergi ke kaunter. Bercakap sekejap dengan rakannya. Tidak lama, pergi semula ke arah Mark dan menyerahkan baki wang. Mark mengambil baki wang itu dan memasukkannya semula ke dalam dompet. Mark menatang gelas kopi itu dan kemudian menghirupnya perlahan. Semacam satu kepuasan, dia menghirup kopi itu lagi. Hujan di luar sudah pun reda. Mark masih lagi di kedai kopi. Sengaja, dia ingin berada lebih lama di situ.Manusia perlu juga masa untuk berehat.Merehatkan minda yang kadang kala kusut. Sesekali, seronok juga bersendirian. Ada lebih ruang waktu untuk berfikir. Fikirannya menerawang seketika. Tidak lama, dia tersedar semula. Mark menghirup habis kopi di dalam gelas. Sudah sampai waktu untuk beredar dari situ.Fikirnya.

Titis Gerimis~ fragmen 3
Amanda masih lagi di Fragrance Florist. Jemarinya menyusun cermat bunga-bunga di rak. Antaranya Lili, Lavender, Ros, Tulip, Bunga Matahari, dan lain – lain lagi. Sekilas, Amanda memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul 5.00 petang. “Huh...” Amanda mengeluh perlahan. Tidak ramai yang datang ke kedai hari ini. Mungkin disebabkan hujan. Sedang Amanda bersiap untuk pulang, daun pintu kedainya diselak. Kelihatan seorang lelaki buru – buru masuk ke dalam kedai. Amanda berpaling. Dia memandang wajah lelaki itu. Rambut dan pakaian lelaki itu membasah disebabkan hujan. “ Dah nak tutup ke?” tanya lelaki itu. Amanda segera mengangguk. Dia agak terkejut dengan kehadiran lelaki itu. “Maaf sebab mengganggu. Saya nak beli ros merah. Sekuntum. Ada?” Lelaki itu menjelaskan kehadirannya. “Ya, ada. Pilihlah” sahut Amanda. Lelaki itu segera pergi ke rak bunga. Tangannya mencapai sekuntum ros merah. “Saya pilih ini,” lelaki itu menunjukkan ros merah itu kepada Amanda. “Berapa?” tanya lelaki itu lagi. “ RM10,” Amanda menjawab ringkas. Dia memandang wajah lelaki itu lagi. Dari riak wajahnya, seakan lelaki itu gelisah dan buru – buru. “Kenapa encik? Nampak gelisah saja?” Amanda memberanikan diri bertanya. “Awak tahu tak? Hari ini saya buat – buat lupa akan ulang tahun perkenalan saya dan kekasih saya. Ingatkan hendak buat gurauan. Tidak tahu pula dia betul –betul merajuk,” jelas lelaki itu. “ Oh, jadi encik beli bunga ni nak pujuklah,” kata Amanda. Lelaki itu tersengih sambil menggaru kepalanya. “Encik pasti berjaya memujuknya,” kata Amanda. “Harap – harap begitulah. Terima kasih, ya,” kata lelaki itu. “Sama –sama. Sila datang lagi,” kata Amanda lagi. “Ya, saya akan datang.” Lelaki itu pantas beredar dari kedai itu. Amanda memerhatikan lelaki itu lagi. Ragam orang bercinta, begitulah. Sesaat, Amanda teringat akan dirinya sendiri. “Huh...” dia mengeluh lagi.
Bersambung fragmen 4~Nantikan sambungannya

Gambar : Google Images